Buletin

APABILA LIBERTY WALK HASILKAN BODYKIT UNTUK HONDA S660 – INILAH HASILNYA!

Liberty Walk ialah tuner terkenal dari Jepun yang biasanya menghasilkan bodykit serta mengubah suai jentera mewah seperti Lamborghini Aventador dan McLaren 650S.

Tetapi kali ini, tuner tersebut buang tebiat dengan mengubahsuai sebuah kei-kar Honda S660 khas untuk pelanggan mereka di Jepun. Perubahan yang ditampilkannya sangat ketara sehingga ramai yang ternganga apabila melihatnya.

Untuk makluman, kereta paling kecil yang pernah mendapat khidmat liberty Walk sebelum ini ialah MINI Cooper S R56. Sebagaimana yang kita tahu, kalau dah nama kei-kar, ia mesti mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Jepun. Terutama dari segi dimensi dan enjin yang tidak lebih 0.66 liter dengan kuasa dihadkan kepada 64PS sahaja.

Transformasi S660 ini merangkumi fender yang dibina menggunakan beberapa komponen berbeza. Bahagian belakangnya nampak lebih lebar. Turut dipasang ialah bampar depan belakang yang mengubah keseluruhan rupa kei-kar ini. Liberty Walk memasang spoiler belakang ducktail dan rim aloi dicat hitam yang dibalut tayar Falken untuk kesan lebih dramatik.

Pakej lengkap yang dikenali sebagai SSX-660R itu sudah boleh dipesan di Jepun pada harga 475,000 yen (RM18,000). Tambahan untuk suspensi udara ialah 580,000 yen (RM22,000). Tuner itu juga dikatakan bakal tampil dengan bodykit versi kedua yang merangkumi wing dan peresap udara bersaiz besar.

Biarpun memiliki wajah yang begitu garang, enjinnya masih stok dan tidak menerima sebarang penambahbaikan.

BACA: TAS 2017 – MUGEN GARU, VERSI GANAS HONDA S660

Google ads
Back to top button