Buletin

APPLE BATAL PROJECT TITAN, USAHA 10 TAHUN HANYA SIA-SIA

Apple secara rasmi telah menamatkan projek kereta pandu sendiri mereka setelah membatalkan permit ujian kenderaan autonomi di California.

Menurut laporan terkini oleh macReports, syarikat teknologi gergasi itu telah menghubungi Jabatan Kenderaan Bermotor California (DMV) bulan lalu untuk membatalkan Permit Pengeluar Program Kenderaan Autonomi yang akan tamat tempoh pada 30 April tahun depan.

Pengumuman ini mengesahkan penutupan projek dikenali sebagai Project Titan, usaha selama 10 tahun yang telah menyaksikan Apple melaburkan berbilion dolar untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) autonomi sepenuhnya dengan ciri mewah dan pengalaman pemanduan berpandu suara.

Pada bulan Februari, Apple telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan Project Titan disebabkan oleh halangan yang berterusan dalam mencapai matlamatnya.

Menurut laporan PYMNTS, usaha terbaru Apple untuk menyelamatkan bahagian EV mereka adalah dengan menangguhkan pelancaran kenderaan tersebut hingga 2028.

Selain itu, Apple turut mengurangkan teknologi pandu sendiri daripada Tahap 4 ke Tahap 2+, menjadikan kereta tersebut lebih mirip kepada EV standard berbanding kenderaan autonomi sepenuhnya.

Dalam berita lain berkaitan kenderaan autonomi, Tesla baru sahaja melancarkan robotaxi yang lama dinantikan, sebahagian daripada visi besar CEO Elon Musk untuk masa depan automasi.

Musk turut berkongsi janji bahawa Tesla akan mula membina Cybercab autonomi sepenuhnya pada 2026 atau 2027, dengan harga di bawah AS$30,000 (RM129,194), serta memperkenalkan robovan yang mampu membawa sehingga 20 orang.

Google ads
Back to top button