Motosikal

DUCATI SCRAMBLER 10° ANNIVERSARIO RIZOMA EDITION 2025 DIRASMIKAN 

Episod terbaru Ducati World Premiere 2025 (DWP2025) menyaksikan sebuah lagi model Scrambler diperkenalkan kali ini menerusi Scrambler 10° Anniversario Rizoma Edition. 

Selepas memperkenalkan Icon Dark dan Full Throttle sebagai tulang belakang baharu model Scrambler bagi tahun 2025, Scrambler 10° Anniversario Rizoma Edition pula merupakan model khas dengan hanya 500 unit terbina. 

Seperti namanya, Ducati Scrambler edisi khas ini adalah sebagai meraikan ulang tahun ke-10 bagi model Scrambler V-Twin. 

Sementara itu, pengeluar aksesori premium Itali, Rizoma dengan kerjasama Ducati Styling Department menghasilkan beberapa komponen unik termasuk ‘bar-end mirror’, lever brek dan klac, penutup brake master cylinder, penutup tangki serta ‘footpeg’. 

Kombinasi warna Stone White dan komponen Metal Rose yang unik juga menyumbang kepada estetik keseluruhan Scrambler 10° Anniversario Rizoma Edition ini. 

Beralih ke sudut teknikal, Scrambler 10° Anniversario Rizoma Edition ini dipacu platform sama yang terdapat pada generasi kedua Scrambler, enjin V-Twin 803cc SOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 73hp pada 8,250rom dan 65Nm pada 7,000rpm. ECU yang telah dikemas kini bagi tahun 2024 itu juga menawarkan ciri seperti ‘ride-by-wire’, tiga mod menunggang dan traction control. 

Pakej brek juga sama seperti Scrambler keluaran 2024 yang merangkumi cakera brek tunggal 330mm depan dan 245mm di belakang masing-masing dipadankan degan brek 4-piston depan dan piston tunggal di belakang. Pakej brek turut disokong fungsi Cornering ABS oleh Bosch. 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • fork USD 41mm dari KYB
  • rim 18-inci depan dan 17-inci belakang
  • Ducati Mulitimedia System 
  • quickshifter
  • skrin TFT 4.3-inci
  • lampu LED

Menurut Ducati, Scrambler 10° Anniversario Rizoma Edition ini akan mula menembusi pasaran global pada Mac 2025 dengan harga jualan USD15,000 (RM64.5k). 

GALERI: DUCATI SCRAMBLER 10° ANNIVERSARIO RIZOMA EDITION

Google ads
Back to top button