
RASMI: CFMOTO 500SR VOOM KINI DI MALAYSIA- 78HP, RM35,888
CFMOTO merupakan antara jenama baharu yang kami ekori rapat terutamanya melibatkan perkembangan model baharu. Ini kerana Malaysia merupakan antara negara yang menerima model baharu dari jenama itu.

Baru-baru ini, jenama motosikal dari China itu bingkas mencuri tumpuan apabila mendedahkan dua model baharu menerusi 500SR VOOM dan 675SR-R.
Kedua-dua model ini menarik perhatian ramai ekoran 500SR VOOM dipacu enjin 4-silinder sementara 675SR-R pula dipadankan dengan platform 3-silinder.

Bagaimanapun, ketika 675SR-R diumumkan sebagai motosikal untuk pasaran global, CFMOTO memaklumkan 500SR VOOM pula sebagai model khas untuk pasaran China.
Namun, berita gembira dihadirkan CFMOTO Malaysia apabila telah pun melancarkan 500SR VOOM untuk pasaran tempatan ketika pelancaran pusat pameran CFMoto terbaru di Semenyih, pada Ahad.

Atas kertas, CFMoto 500SR VOOM dikuasakan enjin empat silinder 500cc DOCH yang berupaya menjana 78hp (81.8hp dengan bantuan Ram-Air) dan 49Nm dengan bore 63mm dan stroke 40mm. Ini bermaka, 500SR jelas lebih berkuasa berbanding Kawasaki Ninja ZX-4RR (74hp).

Menariknya, motosikal ini hanya 194kg dengan tangki penuh dan mampu mencapai kelajuan maksima lebih 210km/j.
Selain itu, motosikal segmen sportsbike ini juga dipadankan dengan tayar 120/70-17 depan dan 160/60-17 belakang serta pakej fork dan penyerap hentak dari KYB.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk quickshifter (upshift sahaja) dan klac assist/slipper. Selain itu, steering damper, traction control (2-mod), ABS dwi-saluran serta ESS turut didatangkan secara standard.