Buletin

COLOSSUS LIMO BAPAK BESAR. BOLEH MUAT 30 PENUMPANG

Ia besar, cerah, kuning berkilau, ada lampu berkelip-kelip, dilimpahi skrin dan menagih perhatian orang ramai.

Colossus Limo yang mula diperkenalkan pada tahun 2010 sebagai The King didakwa sebagai limousin terpanjang dan terbesar di dunia. Begitupun, ia tidak diiktiraf secara rasmi.

Colossus Limo sebenarnya dibina menggunakan trak Navistar International. Saiznya sahaja sudah membuat anda berpaling melihat kenderaan ini, bukan sekali, dua malah tiga atau empat kali.

Ia hadir dalam cat berwarna kuning terang dan lampu biru berkelip-kelip. Jadi, Colossus Limo sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai cantik atau mempunyai kualiti buatan yang halus.

Colossus berukuran 12 meter panjang dan 2.5 meter lebar. Bahagian kabin pula setinggi 1.8 meter, jadi kepala anda tidak terhantuk di bahagian siling apabila mengadakan parti liar di dalam limousin ini.

Limosin itu turut dilengkapi tiga bar, ruang DJ yang berfungsi penuh, lantai LCD untuk menari, pencahayaan menarik dengan persembahan laser dan mesin kabus.

Malah, kenderaan yang mampu menampung sehingga 30 penumpang itu didatangkan bersama  sistem bunyi sekeliling 8,000 watt, sistem karaoke dan dua tiang hiburan. Terdapat juga bilik VIP untuk mereka yang inginkan privasi.

Sebanyak 11 panel TV dipasang dalam kenderaan ini dan satu dengan paparan 52 inci bagi membolehkan pengguna menyiarkan iklan. Bagi memastikan keselamatan orang ramai, kamera litar tertutup (CCTV) ada dipasang untuk memantau pergerakan.

Pada mulanya, ia merupakan antara kenderaan di bawah syarikat sewa kenderaan, The Biggest Limo yang berpangkalan di Glendale, California, Amerika Syarikat yang diasaskan Karen Petrosyan dan Gary Piskoulian pada tahun 2008.

Syarikat berkenaan menawarkan pelbagai jenis kenderaan seperti Bentley, Rolls-Royce dan BMW tetapi tidak boleh menandingi kapasiti Colossus.

“Saya ingin melakukan sesuatu luar biasa yang belum pernah dilakukan orang lain. Justeru, saya telah mengambil keputusan untuk menukar sebuah trak menjadi limousin,” kata Petrosyan.

Pembikinan limousin berkenaan dianggarkan menelan belanja sebanyak RM2 juta. Petrosyan kerap kali mengatakan perbelanjaan membikin trak tersebut bersamaan dengan membeli sebuah jet peribadi. – autoevolution

Google ads
Back to top button