BuletinMotosikal

AZLAN TERPANTAS DI HARI PERTAMA, CIPTA REKOD BARU LITAR SUZUKA!

Azlan Shah Kamaruzaman muncul pelumba terpantas kategori SuperSports 600cc dengan catatan 2’12.341s pada hari pertama saingan Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar Suzuka, Jepun, hari ini.

Catatan yang dilakukan oleh pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu juga merupakan catatan rekod baru litar, 0.002 saat mengatasi catatan lama milik Yuki Takahashi yang dilakukan pada tahun 2016.

Meskipun muncul pelumba terpantas, Azlan tetap berwaspada dengan ancaman pelumba-pelumba tuan rumah termasuk barisan pelumba wildcard seperti Ikuhiro Enokido (Moto Bum Honda) yang mengekori di belakang dengan masa 2’12.771s.

Chalermpol Polaimai (Yamaha Thailand Racing Team) mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 2’12.793s manakala seorang lagi pelumba wildcard, Keisuke Maeda (Ito Racing GMD Suzuka) turut berada dalam senarai lima pelumba terpantas dengan masa 2’12.907s diikuti Anthony West (Akeno Speed Racing), 2’12.955s.
 
“Pelumba wildcard mampu menjadi ‘pengacau’ kepada kami. Mereka pantas dan mempunyai kelebihan di litar ini. Saya pula mempunyai misi untuk menang dan menjarakkan diri dalam kedudukan keseluruhan. Saya perlu lebih berhati-hati dan mengelak dari tercicir banyak mata di sini,” jelas Azlan.

Pada masa sama, Azlan turut menerima berita gembira apabila diumumkan sebagai pelumba ketiga pasukan Kawasaki, Team Green yang akan bersaing dalam saingan Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour pada Julai depan. Azlan akan membarisi pasukan yang muncul naib juara pada edisi 2016 bergandingan dengan pelumba ternama Eropah, Leon Haslam dan pelumba Jepun, Kazuma Watanabe.
 
Sementara itu, Takehiro Yamamoto (Sidrap Honda Ikazuchi Racing) menggunakan kelebihan di halaman sendiri untuk mencatat masa terpantas dalam saingan Asia Production 250cc dengan masa 2’29.488s mengatasi pendahulu keseluruhan, Gerry Salim (Astra Honda Racing) yang mencatat 2’29.651s diikuti Tomoyoshi Koyama (Rama Honda) dengan masa 2’30.218s.

Sesi kelayakan Underbone 150cc pula dikuasai oleh Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) dengan catatan 2’39.749s diikuti dua pelumba Malaysia, Md Akid Aziz (Uma Racing Yamaha Maju Motor) dan Fakhrusy Syakirin Rostam (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing Team), masing-masing dengan catatan terbaik 2’41.367s dan 2’41.570s.

Combined Practice Results:


SuperSports 600cc

1. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki 2’12.341s
2. Ikuhiro Enokido (JPN) Moto Bum Honda 2’12.771s
3. Chalermpol Polaimai (THA) Yamaha Thailand Racing 2’12.793s
4. Keisuke Maeda (JPN) Ito Racing GMD Suzuka 2’12.907s
5. Anthony West (AUS) Akeno Speed Racing 2’12.955s
 

Asia Production 250cc

1. Takehiro Yamamoto (JPN) Sidrap Honda Ikazuchi Racing 2’29.488s

2. Gerry Salim (INA) Astra Honda Racing 2’29.651s

3. Tomoyoshi Koyama (JPN) Rama Honda 2’30.218s

4. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha Thailand Racing 2’30.616s

5. Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech Kawasaki Racing 2’30.652s

Underbone 150cc

1. Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha Racing Indonesia 2’39.749s

2. Md Akid Aziz (MAS) Uma Racing Yamaha Maju Motor 2’41.367s

3. Fakhrusy Syakirin Rostam (MAS) SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing) 2’41.570s

4. Md Helmi Azman (MAS) onexox TKKR Racing) 2’42.143s

5. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing) 2’42.463s

Google ads
Back to top button