Buletin

BAGAIMANA PUSAT SERVIS MEMASTIKAN TIADA PENCEMARAN AIR, GUNA PERANGKAP MINYAK

Minggu lepas rakyat Selangor dikejutkan dengan peristiwa bekalan air paip terawat yang terputus bekalan. Kejadian ini berpunca daripada beberapa loji rawatan air di Selangor terpaksa dihentikan tugas disebabkan air mentah yang diterima oleh loji berkenaan dicemari dengan sisa minyak. Berdasarkan bukti yang ada, pencemaran minyak terpakai ini berasal dari sebuah bengkel baik pulih kenderaan berat di Rawang.

Untuk makluman pembaca, proses untuk menjalankan proses servis dan baik pulih kenderaan biasanya memerlukan proses permohonan yang panjang dengan pihak berkuasa tempatan. Pemohon perlu mencadangkan pada pihak berkuasa tempatan lokasi yang sesuai (biasanya di kawasan perindustrian yang telah dikhaskan)

Disebabkan proses servis kenderaan ini akan melibatkan bahan kimia hidrokarbon, maka ia memerlukan kelulusan beberapa pihak lain termasuk Jabatan Alam Sekitar untuk beroperasi. Antara kriteria yang penting dalam kelulusan bagi pusat servis ialah penyedia perkhidamatan perlu menyediakan satu mekanisme perangkap minyak dalam premis mereka.

Contoh gutter run pada stesen minyak untuk memerangkap minyak yang tumpah di lantai

Ya minyak enjin yang telah digunakan akan disedut dan dibuang mengikut tatacara SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Masalah yang terjadi ialah sekiranya minyak tersebut mengotori lantai atau dalam kes yang serius memasuki longkang yang akhirnya akan bersambung dengan longkang awam, anak sungai, sungai dan memasuki loji rawatan air.

Jadi bagi memastikan tiada pencemaran sisa minyak terpakai dari pusat servis ke longkang dan air yang dilepaskan dari longkang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh JAS, maka longkang tadi perlu dipasang dengan satu komponen yang dikenali sebagai oil separator atau dalam bahasa melayunya ialah perangkap minyak.

Seperti namanya, perangkap minyak akan memerangkap minyak yang mungkin terlepas masuk dalam longkang dan ia akan memastikan hanya air saja yang dilepaskan dari perangkap minyak. Satu ciri unik minyak ialah ketumpatan minyak adalah kurang dari air menyebabkan ia terapung di permukaan air. Konsep ini digunakan dalam perangkap minyak dan minyak boleh dikeluarkan dari perangkap minyak untuk diuruskan mengikut SOP ISO 14000.

Sistem perangkap minyak dengan gravity flow

Kebanyakan pusat servis bertauliah yang dimiliki dan diuruskan oleh jenama automotif terkemuka di Malaysia beroperasi dengan kebenaran Jabatan Alam Sekitar kerana pemasangan perangkap minyak ini memerlukan surat kebenaran. Perangkap minyak ini juga perlu diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan ia berfungsi dengan cekap

Masalah yang terjadi di Rawang ialah bengkel servis kenderaan berat tersebut dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa dan kami yakin penapis santan pun tidak digunakan di premis ini. Bagi memastikan kejadian ini tidak berulang, penduduk di kawasan sekitar perlu melaporkan pada pihak berkuasa tempatan jika mengesyaki wujudnya bengkel yang beroperasi tanpa kebenaran.

Bayangkan berapa hari penduduk Selangor terpaksa mengalami kesusahan disebabkan oleh kecuaian mereka. Anda boleh menonton video di bawah bagi melihat bagaimana perangkap minyak berfungsi.

Google ads
Back to top button