Artikel Pilihan

PROTON S70 LITE BAWAH RM60K. BEZZA, CITY & VIOS BERPELUH JANTAN

Pada pandangan saya, kalau saya berada dalam Proton, model seperti S70 Lite ini sepatutnya sudah lama dilancarkan. Bukan pada tahun 2026, tetapi mungkin seawal 2023, ketika Proton mula memperkenalkan S70 bersama varian 1.5 turbo.

Namun pada waktu itu ada satu masalah besar. Enjin 1.5 i-GT belum siap.

Enjin ini masih agak baharu dan hanya mula digunakan pada Proton Saga pada November 2025. Jadi kalau Proton mahu menghasilkan S70 menggunakan enjin 1.5 NA tiga silinder pada ketika itu, saya rasa ia bukan satu langkah yang begitu baik.

Enjin 1.5 turbo tiga silinder mempunyai kelebihan kerana turbo mampu menghasilkan tork yang tinggi pada rpm rendah. Sebab itu enjin kecil seperti ini boleh menggerakkan model seperti X50, X70 dan S70 dengan lebih mudah. Turbo menjadikan enjin berkapasiti kecil terasa lebih bertenaga dan tidak terlalu bekerja keras.

Tetapi kalau turbo dibuang dan enjin tiga silinder itu dijadikan NA, untuk mendapatkan kuasa yang mencukupi enjin perlu bekerja pada rpm yang lebih tinggi. Di sinilah karakter tiga silinder lebih mudah dirasai, terutama dari segi getaran, bunyi dan rasa kasar ketika acceleration.

Tambah pula jika dipadankan dengan CVT. Ketika memotong, mendaki bukit atau membawa muatan penuh, rpm mungkin perlu dinaikkan dengan banyak dan pada ketika itu NVH berpotensi menjadi lebih ketara.

Jadi saya boleh faham kenapa Proton tidak terus menghasilkan S70 NA pada 2023. Tetapi selepas enjin 1.5 i-GT diperkenalkan pada Saga pada November 2025, dan kini pada September 2026 sudah muncul pula pada S70, bagi saya tempoh itu agak cepat.

Ini menunjukkan Proton mungkin memang sudah lama mempunyai idea untuk menggunakan enjin NA ini pada model lain, cuma perlu menunggu masa yang sesuai. Dan apabila berita mengenai S70 Lite ini muncul dengan sasaran harga bawah RM60,000, saya rasa ramai pesaing Proton memang perlu duduk dan fikir semula strategi mereka.

Sebab price point ini sangat menarik dan saya boleh bayangkan bakal pembeli berkata:

“Daripada aku ambil Bezza AV, baik aku tengok S70.”

“Daripada aku ambil City, baik aku tengok S70.”

“Hmm… daripada ambil Vios, baik aku tengok S70.”

Ini kerana generasi pembeli hari ini sudah agak berbeza berbanding generasi saya. Mereka lebih terbuka untuk mencuba jenama baharu dan tidak terlalu terikat dengan sentimen terhadap jenama. Buktinya kita boleh lihat sendiri daripada peningkatan jualan dan penerimaan terhadap pelbagai model buatan China di Malaysia.

Jadi, kembali kepada spesifikasi S70 Lite ini.

Enjin 1.5 i-GT empat silinder tersebut menghasilkan 120 PS dan 150 Nm tork. Kalau kita letakkan enjin ini pada sebuah S70 yang beratnya sekitar 1.3 tan, power-to-weight ratio memang boleh dikatakan biasa-biasa sahaja.

Lebih kurang berada dalam kawasan yang kita boleh jangkakan daripada sebuah MPV seperti Alza yang mempunyai sekitar 105 PS dengan berat sekitar 1.2 tan. Jadi jangan beli S70 NA ini dengan expectation ia akan memecut seperti S70 1.5 turbo.

Kalau nak buat anggaran kasar, pecutan 0-100 km/j mungkin berada sekitar 11 hingga 13 saat, bergantung kepada berat sebenar kereta, talaan CVT, tayar dan faktor lain. Tetapi saya rasa forte sebenar enjin ini bukan pada kuasa. Ia adalah efficiency.

Enjin 1.5 i-GT ini menggunakan pendekatan seperti Atkinson cycle, dual VVT dan electric water pump, yang semuanya membantu meningkatkan kecekapan enjin dan pengurusan haba.

Jadi apabila enjin ini digandingkan pula dengan CVT yang dikatakan menggunakan unit daripada pembekal Geely seperti WanLiYang (WLY), saya lebih berminat untuk melihat angka penggunaan minyak berbanding angka 0-100 km/j.

Kalau benar sistem transmisi itu mempunyai calibration yang baik dan mampu mengekalkan enjin pada operating range yang efisien, saya boleh bayangkan S70 NA ini menjadi sebuah sedan yang sangat menarik untuk kegunaan harian.

Punch CVT? Patut dah lama letak dalam muzium, disolatjenzahkan dan ditalkinkan

Untuk penggunaan sebenar, saya secara peribadi menjangkakan sesuatu dalam lingkungan 17–18 km/l untuk mixed driving yang baik. Kalau highway, jalan lancar, cuaca baik dan kita bawa secara santai pada kelajuan tidak lebih kurang 110 km/j, angka sekitar 20 km/l atau lebih bukan sesuatu yang mustahil.

Kalau kaki berat pula, mungkin sekitar 14 km/l.

Dan kalau kereta ini benar-benar mampu mencapai angka sebegitu, penggunaan harian akan menjadi salah satu sebab utama orang memilihnya. Dengan adanya subsidi petrol bersasar seperti BUDI95, kalau penggunaan bulanan tidak terlalu tinggi, kos petrol juga boleh menjadi sangat rendah dan terkawal

Sekarang kita masuk kepada perkara yang paling menarik. Katakanlah harga S70 Lite benar-benar berada pada RM58,888. Dengan deposit 10 peratus, pinjaman sembilan tahun dan kadar faedah sekitar 3 peratus secara flat rate, ansuran kasar adalah lebih kurang RM623 sebulan.

Untuk sebuah sedan yang jauh lebih besar daripada kereta paling murah dalam pasaran, dengan enjin 1.5 liter, ciri keselamatan dan teknologi moden, angka ini memang boleh membuatkan orang berfikir dua atau tiga kali sebelum membeli kereta lain.

Saya rasa model Proton S70 Lite memang akan laku. Mungkin tidak sehebat Saga baharu yang pada awal pelancarannya terpaksa menunggu sehingga sekitar enam bulan bagi sesetengah pelanggan.

Tetapi dari segi price positioning, spesifikasi dan kelengkapan, S70 Lite berpotensi membuatkan ramai pembeli menilai semula pilihan mereka. Di negara lain, kita mungkin sering dengar cerita mengenai sedan yang semakin mati kerana pengguna beralih kepada SUV dan crossover.

Tetapi saya rasa di Malaysia, sedan masih mempunyai tempat.

Sedan biasanya lebih murah daripada SUV pada harga yang sama, lebih rendah dan lebih sedap dipandu, mempunyai pengendalian yang baik serta lazimnya menawarkan kos penyelenggaraan dan penggunaan yang lebih munasabah.

Sebab itu saya melihat S70 Lite bukan sekadar sebuah varian baharu.

Ia mungkin merupakan langkah Proton untuk mengubah semula permainan dalam pasaran sedan mampu milik Malaysia.

Kalau harga akhirnya benar-benar bawah RM60,000, persoalannya bukan lagi:

“Boleh ke S70 Lite lawan kereta lain?”

Tetapi mungkin:

“Kenapa aku perlu bayar lebih untuk ambil kereta lain?”

Google ads
Back to top button