Artikel Pilihan

BANTUAN DIPERLUKAN UNTUK RESTORASI SUPRA JGTC

Dalam zaman internet ni, macam-macam cara boleh digunakan untuk mendapatkan dana untuk satu-satu projek. Antaranya ialah projek restorasi kereta-kereta hebat yang mewakili era tertentu. Kereta yang menjadi subjek cerita kali ini ialah sebuah kereta lumba Toyota Supra yang pernah digunakan oleh pasukan Toyota Team Castrol Tom’s yang pernah digunakan dalam perlumbaan JGTC.

Perlumbaan Japan GT merupakan salah satu perlumbaan paling berprestij di Jepun yang menjadi platform kepada pengeluar untuk menunjukkan kehebatan teknologi mereka. Bukan hanya dari Jepun, pengeluar lain seperti McLaren dan Lamborghini pun turut serta untuk mencabar jentera-jentera hebat dari Jepun.

Dalam kelas GT500 saingan sentiasa datang dari tiga penjuru antara Nissan dengan GT-R mereka, Honda dengan NSX dan Toyota pula menggunakan Toyota Supra A80. Kesemua tiga model ini digunakan olh pasukan berbeza-beza dan boleh dikatakan saban tahun kejuaraan memang milik GT-R. Hinggalah tahun 1997, Toyota berjaya memecah monopoli dan merebut kejuaraan JGTC untuk kategori pemandu dan pasukan melalui pasukan Castrol TOM’S Supra.

Beberapa bulan lepas beberapa perlumbaan Super GT telah dilangsungkan tanpa penonton ataupun dibatalkan terus mengakibatkan ramai peminat mula berkongsi gambar-gambar lama di dalam talian. Antara yang menarik perhatian ialah beberapa keping gambar Supra yang pernah digunakan oleh pasukan Castrol TOM’S Supra dalam JGTC (nama lama Super GT) yang telah ditemui dalam sebuah gudang di Chugoku, barat pulau Honshu.

Ia sudah tersadai selama 20 tahun dan mula dimamah karat khususnya pada bahagian yang terjejas sewaktu perlumbaan. Enjin 3SGTE sebaris empat versi perlumbaannya sudah dikeluarkan (Supra versi jalanan menggunakan enjin 2JZ-GTE). Rupa-rupanya selepas kereta ini dipencenkan dari perlumbaan, pasukan lumba Castrol TOM’S telah menyerahkannya kepada seorang lelaki yang kemudian menyimpannya di dalam sebuah gudang selama dua dekad.

Kini TOM’S sudah berjaya memperolehi kereta tersebut dan akan memulakan projek restorasi yang mengembalikannya kepada keadaan asal. Ini bukannya kereta yang memperolehi kemenangan dalam tahun 1997 tapi model yang digunakan untuk perlumbaan musim berikutnya.

Tapi dalam keadaan seluruh dunia sedang bangkit akibat wabak pandemic Covid-19, bajet yang besar memang cukup diperlukan. Jangan ingat syarikat besar macam TOM’S tidak terjejas teruk.

Jadi untuk memastikan projek restorasi ni berjaya, TOM’S melancarkan satu laman web crowdfunding untuk  mengumpul modal bagi merealisasikan projek ini. Terdapat tiga peringkat kutipan untuk menjayakan misi ini.

  1. Peringkat pertama memerlukan sumbangan sebanyak USD94,000 untuk restorasi fizikal luaran dan dalaman. Barulah layak dipamerkan di pameran kereta.
  2. Peringkat kedua USD282,000 untuk memulihkan fungsi mekanikal supaya kereta boleh dipandu secara ‘normal’.
  3. Peringkat ketiga USD470,000. Restorasi akan dilakukan bagi memulihkan kembali prestasi kereta ini sehingga boleh dipandu di atas litar perlumbaan.

Apa yang penyumbang akan dapat selain balasan pahala? Bagi penyumbang kecil-kecilan, mereka akan menerima sumbangan seperti pelekat dan nama mereka akan dipaparkan di laman web projek ini.

Tapi bagi penyumbang besar bernilai 3 juta yen ke atas (bersamaan dengan USD28,200) mereka akan menerima pelbagai faedah lain termasuklah peluang untuk meminjam kereta tersebut selama satu hari dan memandunya di dalam litar perlumbaan sebenar. Bukan itu sahaja, nama penyumbang juga akan diletakkan pada bahagian tertentu kereta ini.

Penyumbang dari luar Jepun turut dialu-alukan tapi memang kena beli kapal terbang kalau nak pergi pandu kereta ni nanti. Kualiti restorasi tidak perlu dipertikaikan kerana ia akan dilakukan oleh TOM’S sendiri dan bukannya bengkel bawah pokok okey.

Kredit Japanesenostalgiccars.com

Google ads
Back to top button