Buletin

BRIDGESTONE DILANTIK PEMBEKAL TAYAR RASMI GR86 CUP MALAYSIA

Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. telah diumumkan sebagai pembekal tayar rasmi bagi kejohanan sulung GR86 Cup Malaysia Series, yang bakal berlangsung sebagai perlumbaan sokongan rasmi sempena kepulangan bersejarah SUPER GT ke Malaysia.

Acara berprestij ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 26 hingga 28 Jun 2025.

GR86 Cup Malaysia Series, yang menampilkan model Toyota GR86 dalam format one-make race, dijangka menghangatkan pentas perlumbaan dengan dua perlumbaan pecut 10 pusingan pada hujung minggu tersebut, disusuli dua pusingan tambahan menjelang akhir tahun.

Kepulangan SUPER GT ke Malaysia selepas 12 tahun menjadi satu detik bersejarah buat peminat sukan permotoran tempatan.

Malaysia juga merupakan satu-satunya pusingan antarabangsa dalam kalendar lapan pusingan musim 2025, dengan baki tujuh lagi dijadualkan berlangsung di Jepun.

Setiap jentera dalam GR86 Cup Malaysia Series akan dilengkapi tayar ultra-prestasi tinggi Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17 94W. Tayar semi-slick ini dihasilkan untuk memberikan cengkaman maksimum, kawalan optimum dan ketahanan tinggi, menjadikannya pilihan sempurna untuk aksi di litar serta masih praktikal untuk kegunaan jalan raya harian.

Pelantikan ini juga memperkukuh lagi kedudukan Bridgestone sebagai rakan prestasi dipercayai dalam dunia sukan permotoran.

Sejak era Japan GT Championship (JGTC) awal 2000-an, Bridgestone telah membekalkan tayar kepada pelbagai pasukan yang pernah menjuarai kejuaraan SUPER GT, sekaligus mengekalkan warisan dan kepakarannya dalam perlumbaan peringkat tertinggi.

Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia), Michael Chung, menyambut baik kerjasama ini, “Kepulangan SUPER GT ke Malaysia sangat dinanti-nantikan, dan kami lebih teruja dengan kemunculan GR86 Cup Malaysia Series.”

“Dipilih sebagai pembekal rasmi tayar Potenza RE-71RS mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap sukan permotoran serta keghairahan kami menyokong pemanduan cemerlang di semua peringkat.”

Sebagai sebahagian daripada falsafah “From Circuit to Street”, Bridgestone menggunakan perlumbaan sebagai makmal bergerak untuk menguji dan memperhalusi teknologi baharu.

Pendekatan ini menyumbang kepada pembangunan tayar gantian yang lebih selamat dan berprestasi tinggi bagi kegunaan harian.

Google ads
Back to top button