Artikel Pilihan

SAKSIKAN PERMULAAN DOMINASI GT-R DALAM JTCC – DI SINI SEJARAH BERMULA

Dalam sibuk-sibuk dengan Nissan Z Nismo yang belum mampu kita beli tu apa kata kita singkap sejarah model terhebat Nissan yang juga dah tentu tak mampu kita beli. Ya, sejarah penguasaan besar-besaran Nissan Skyline GT-R dalam perlumbaan Japan Touring Car Championship (JTCC).

Bila mula diperkenalkan tiada siapa menyangka R32 akan menjadi gergasi yang akan membaham kereta-kereta lain di litar perlumbaan. Mangsanya bukan kaleng-kaleng dan antaranya ialah Toyota Supra A70, Ford Sierra RS500 dan BMW M3 E30.

Nissan menghasilkan video penampilan pertama R32 GT-R dalam musim JTCC 1990. Ia memaparkan perjalanan dua jentera factory Nissan, Skyline Calsonic yang dipandu oleh Kazuyoshi Hoshino dan Toshio Suzuki serta Skyline Reebok yang dipandu oleh Masahiro Hasemi dan Anders Olofsson.

Kadar tontonan perlumbaan di Jepun cukup tinggi dalam era Bubble Economy Jepun. Kalau korang rasa konsert ntah apa-apa yang kena ban baharu ini sudah ramai penonton, perlumbaan akhir JTCC 1990 jauh lebih ramai penonton yang mencecah jumlah 80,000 orang. Semuanya berkumpul di Fuji Speedway dengan satu matlamat; menyaksikan gergasi yang baharu muncul.

Sebaik menyertai perlumbaan pada musim tersebut, jelas sekali jentera perlumbaan talaan Nismo menguasai perlumbaan sepenuhnya. Skyline Calsonic memenangi kesemua perlumbaan diikuti Skyline Reebok di tempat kedua. Hanya satu perlumbaan sahaja dimenangi Skyline Reebok iaitu pada Pusingan 3 di litar Suzuka dengan Skyline Calsonic di tempat kedua.

Ini bermakna Nissan Skyline R32 GT-2 menguasai tempat pertama dan kedua dalam kesemua perlumbaan.

Jentera lain langsung tidak mempunyai peluang untuk mengatasi R32 membuatkan Toyota menarik diri dari Class 1 dengan Supra mereka. Pelumba utama mereka Masanori Sekiya dan Shogo Ogawa turun ke Class 3 dengan Corolla Levin untuk menghabiskan musim tersebut. Pasukan Object T yang ditaja oleh Toyo Tires menggantikan Sierra RS500 mereka dengan R32 GT-R pada pusingan kelima dan terus merampas tempat ketiga. Ini bermakna kedudukan pertama hingga ketiga dimiliki oleh Nissan GT-R.

Skyline Calsonic memenangi musim tersebut dengan penuh gaya dan bermulah era penguasaan R32 selama empat tahun mendatang. Ia menyapu bersih kesemua 29 pusingan sebelum digantikan dengan R33 dan JTCC ditukar nama kepada JGTC pada tahun yang sama.

Google ads
Back to top button