
BARANG BAIK UNTUK DIJUAL – SUPRA EX JGTC GT500
Zaman kemuncak JGTC menyaksikan kemunculan beberapa produk hebat untuk manusia sejagat antaranya termasuklah permainan video Gran Turismo, filem berkisarkan kereta ubahsuai seperti Fast & Furious, VCD dan majalah permotoran seperti majalah KERETA dan majalah KERETA (sengaja je ni).

Punyalah hebat pengaruh JGTC ni walaupun ia hanya diadakan di Jepun. Ya, pernah satu pusingan diadakan di Malaysia sekitar tahun 2000 dulu. Abang pun pergi buat liputan kat Sepang. Kini sebuah jentera JGTC bakal dilelong kepada umum. Adakah anda berminat (dan mampu?).
Sejarah JGTC menyaksikan persaingan antara tiga model terhebat dalam kategori GT500 satu ketika dahulu. Toyota Supra A80, Honda NSX dan Nissan Skyline GT-R. Supra dengan liveri Castrol berjaya merangkul kejayaan kelas GT500 pada tahun 1997 dan sekali lagi pada tahun 1999. Walaupun ia bukan model terbaru, Supra sekali lagi mencatat kejuaraan pada tahun 2001 dan 2002 cuma kali ini dengan pasukan dan liveri yang berbeza.

Menurut Bingo Sports Auction yang menyelaras lelongan kali ini, Supra yang bakal dilelong ini ialah bekas jentera perlumbaan Cerumo yang muncul pada tahun 2000 dengan nombor 38 FK/Massimo dan dipandu oleh Hironori Takeuchi dan Yuji Tachikawa. Ia berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima pada musim tersebut.
Pada tahun 2001, ia bersalin kulit dan kali ini menggunakan nombor 33 pasukan Cerumo dengan Zenrin sebagai penaja. Ia tidak begitu berjaya pada musim ini walaupun salah seorang pemandunya ialah bekas pemandu F1.
Ia kemudian dipinjamkan ke pasukan pengeluar brek Project µ pada tahun berikutnya. Ini kerana Project µ mahu memasuki kelas GT500 selepas beberapa tahun berlumba dengan AE86 dan MR-S dalam kelas GT300.

Kini kereta ini telah ditogelkan sepenuhnya dari liveri perlumbaan asal dan menunggu pemilik baharu. Nak restore balik? Boleh tapi kena cari enjin lain dahulu sebab kereta ini dah dikeluarkan enjinnya.
Ia bagaimanapun masih dilengkap sangkar keselamatan perlumbaan JGTC, pedal brek perlumbaan boleh laras dan komponen aero. Cari je enjin lain kalau nak restore sangat. Peluang untuk memiliki jentera JGTC asal ni bukan datang setiap hari.