MOTOSIKAL TURBO 180 HP! AMB 001 DARIPADA ASTON MARTIN DAN BROUGH SUPERIOR
Di United Kingdom ada banyak jenama automotif yang berada di dalam lipatan sejarah. Ada yang dihidupkan kembali untuk dinikmati generasi baharu sebagai contoh Brough Superior Motorcycles.
Syarikat ini diasaskan di Nottingham, England pada 1919 oleh George Brough. Motosikal yang dikeluarkan berada pada liga tersendiri, berkualiti tinggi, laju, mahal dan rare.
Episod motosikal ini berakhir apabila kilang pengeluarannya digunakan untuk pembekalan perang dunia kedua.
Brough Superior dilancarkan semula dan pada 2013 model baharu Brough Superior SS100 diperkenalkan di EICMA. Model asal motosikal ini pernah dikeluarkan dari 1924 hingga 1940 dalam jumlah ratusan unit sahaja.
Hari ini Brough Superior mempunyai tiga motosikal moden klasik mewah dan dipasang dengan tangan di Toulouse, Perancis dan dieksport ke serata dunia.
Terbaru Brough Superior dan pengeluar kereta mewah Aston Martin tampil dengan projek kerjasama yang istimewa seterusnya melakar sejarah baharu.
Projek yang dimaksudkan ialah motosikal AMB 001 oleh Aston Martin dan Brough Superior dengan konsep luar biasa.
Projek ini berjalan dengan baik, AMB 001 telah dibawa ke litar Pau-Arnos di Perancis baru-baru ini untuk ujian sebagai permulaan program ujian komprehensif.
Apa yang luar biasa tentang motosikal ini? Ia direkabentuk dan direkayasa (engineered) untuk litar dan hanya 100 unit sahaja dikeluarkan dengan penghantaran pertama pada hujung 2020.
Ini sebenarnya motosikal pertama Aston Martin dan dihasilkan dengan kerjasama Brough Superior.
Teknologi yang digunakan juga hebat. AMB 001 menggunakan enjin V berkembar bernadikan turbo dengan output 180 hp! Pakej turbo turut merangkumi intercooler dengan komponen lain yang menyerlahkan ciri luar biasa motosikal ini.
Tidak banyak maklumat teknikal mengenai motosikal ini dan mengikut perancangan, pengeluaran AMB 001 dijadual bermula di kilang Brough Superior pada musim luruh atau di antara September hingga Disember 2020.
Berkenaan harga, AMB 001 merupakan model istimewa dari jenama mewah Aston Martin dengan harga yang disyorkan (MSRP) ialah 108,000.00 EUR atau bersamaan RM518,405 termasuk 20 peratus VAT.
BACA: ASTON MARTIN HASILKAN HELIKOPTER MEWAH DENGAN KERJASAMA AIRBUS
BACA: ASTON MARTIN DBS SUPERLEGGERA SUDAH TIBA DI MALAYSIA – RM2.88 JUTA SEUNIT
BACA: ASTON MARTIN VANQUISH S ULTIMATE V12 6.0 – HANYA 175 UNIT DI SELURUH DUNIA SEBELUM ERA ENJIN TURBO