Artikel Pilihan

KUNIMITSU TAKAHASHI DIANUGERAHKAN ORDER OF THE RISING SUN – PEMANDU GT-R PALING LEJEN

Kerajaan Jepun baru-baru ini telah menganugerahkan pingat Order of the Rising Sun kepada Kunimitsu Takahashi. Takahashi yang merupakan bekas pelumba motosikal dan kereta terkenal di Jepun baharu sahaja meninggal dunia pada 16 Mac lalu.

Anugerah ini merupakan anugerah tertinggi untuk seorang rakyat biasa yang bukan dari kalangan bangsawan ataupun kakitangan tinggi kerajaan. Takahashi menerima anugerah ini hasil sumbangan besar beliau dalam sukan permotoran.

Anugerah ini yang mula diperkenalkan pada tahun 1875 disasarkan khusus untuk mana-mana individu yang memberi sumbangan positif kepada kemajuan budaya Jepun, kehebatan dalam bidang masing-masing ataupun atas sumbangan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.

Anugerah ini sebenarnya jarang sekali diberikan kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang automotif ataupun sukan permotoran. Selain Takahashi hanya dua orang tokoh dunia permotoran sahaja yang pernah menerimanya. Mereka ialah Soichiro Honda, pengasas Honda Motor Corp dan Shoichiro Toyoda, bekas presiden Toyota Motor Corp. Nampak nyata kat sini yang Takahashi ini bukan calang-calang pelumba.

Karier perlumbaan Takahashi bermula seawal umur 18 tahun di mana beliau muncul sebagai warga Jepun pertama memenangi perlumbaan Grand Prix motosikal di Isle of Man TT dengan menunggang motosikal keluaran Honda. Menjelang tahun 1964 beliau beralih pula ke perlumbaan kereta dan mula berkhidmat sebagai pemandu factory untuk Nissan.

Kalau nak tahu si Takahashi inilah yang bertanggungjawab membantu mencipta rekod kemenangan 50 kali GT-R dalam perlumbaan kereta touring Jepun. Kejayaan itu diulang kembali pada sekitar 90an dengan dominasi Nissan dalam perlumbaan touring Jepun menggunakan Nissan Skyline GT-R R32.

Bukan setakat bersama Nissan, Takahashi turut memenangi kelas perlumbaan GT2 dalam perlumbaan Le Mans dengan memandu Honda NSX. Beliau juga menjadi pemandu utama pasukan Raybrig NSX dan menempa kejayaan dalam perlumbaan JGTC dan Super GT. Kira abang H juga la beliau ni.

Sebenarnya kejayaan beliau terlalu banyak dan panjang untuk diceritakan di sini dan tidak dinafikan beliau memang cukup berpengaruh dan wajar diberikan anugerah tertinggi ini.

Takahashi turut membantu mempromosikan perlumbaan di Jepun dan seluruh dunia dan turut aktif melatih pelumba-pelumba baharu yang bakal memastikan generasi pelumba Jepun terus mendominasi dunia.

Takahashi turut dianugerahkan Sports Achievement Award pada tahun 2020 oleh kerajaan Jepun sebagai menghargai jasa-jasa beliau terhadap pembangunan sukan permotoran Jepun.

Sayangnya Takahasi sudah tiada lagi untuk melihat hasil usaha beliau yang sangat bermakna untuk peminat dunia permotoran di seluruh dunia. Inilah pemandu Godzilla yang bertanggung jawab membawa nama GT-R sehingga digeruni di seluruh dunia khususnya dalam perlumbaan touring.

Kredit Japanesenostalgiccars.com

Google ads
Back to top button