Artikel Pilihan

BEGINI CARANYA UNTUK MENGURUSKAN HARTA PUSAKA MELIBATKAN KENDERAAN & SEDIKIT TUNAI DI BANK

Sebetulnya, agak kerap juga Brader Karrager ditanya tentang tatacara untuk menguruskan harta pusaka terutamanya apabila melibatkan kenderaan dan juga sedikit wang tunai di Institusi Kewangan. Apabila bertanyakan kepada orang di Abam JPJ mahupun Pegawai Bank, jawapannya cukup mudah, pergi aja ke AmanahRaya

Memandangkan Brader Karrager mempunyai sedikit pengetahuan, ada eloknya dikongsikan penerangan secara ringkas kepada semua pembaca Mekanika. Dapat juga pahala.

Harta Yang Perlu Ditadbirkan

Sekiranya harta pusaka yang ditinggalkan si A adalah aset alih sahaja (merangkumi kereta/motor + wang tunai) yang tidak melebihi RM100,000 serta tidak mempunyai waris yang berlapis (tiada kematian berlaku kepada ahli waris asas meliputi Ibu / Bapa / Pasangan / Anak Lelaki / Anak Perempuan selepas kematian A), maka ianya adalah lebih mudah untuk ditadbirkan. Kita sembang yang mudah dahululah ya.

Kenapa lebih mudah, Sijil Faraid tidak diperlukan berdasarkan keperluan AmanahRaya ketika ini. Sudah pasti proses berikutnya menjadi sedikit mudah.

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Jom Pergi AmanahRaya

Sebelum pergi, ada baiknya muat turun terlebih dahulu Borang Pentadbiran Harta Pusaka di sini. Usai memuat turun, bolehlah dilengkapkan bahagian – bahagian yang perlu diisi.

Setelah selesai mengisi, jangan lupa untuk mendapatkan tandatangan Pesuruhjaya Sumpah serta dimatikan Setem Hasil RM10 pada borang tersebut. Dokumen asal seperti Sijil Mati, Buku Bank/Tabung Haji/ASB serta Geran Asal kenderaan dan Salinan Kad Pengenalan waris juga merupakan antara keperluan yang perlu dilampirkan. Bayaran pendahuluan untuk pembukaan fail pusaka diperlukan juga ya. RM50 rasanya.

Berapa Nak Kena Caj & Bila Boleh Selesai Ni?

Difahamkan, caj pentadbiran yang dikenakan adalah bermula 5% untuk RM25,000 yang pertama, 4% berikutnya untuk RM225,000 berikutnya. Jadinya, perkiraan mudah untuk aset yang ditadbirkan bernilai RM100,00 maka fi pentadbiran yang boleh dikenakan adalah RM4,250.

Selaku Syarikat Peramanahan yang dikawal selia oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, maka sudah tentu AmanahRaya juga mempunyai ISO yang perlu dipatuhi. Anggaran tempoh penyelesaiaan adalah antaran empat bulan hingga ke enam bulan untuk kes mudah sebegini.

Tapi ada juga kes pentadbiran yang mudah tapi nak tadbirkan bukan main payah lagi, siap kena baca Yassin bagai nak bagi mudah urusan. Itu belum lagi kisah siapa yang hendak menanggung hutang kenderaan tersebut. Bayar tak mahu. Tapi bab pakai kereta, masing – masing berebut kunci. Haih!

Mujur juga dewasa ini kesedaran tentang keperluang untuk mendapatkan perlindungan takaful/insuran terhadap kenderaan yang baharu dibeli semakin disedari pengguna. Setidaknya, waris tidak dibebani dengan hutang. Kan?

LA Dah Dapat. Nak Kena Buat Apa Lagi?

Bila dah keluar LA (Letter of Administration), barulah seorang waris sahaja yang telah dipilih sebagai penerima boleh pergi terus ke Cawangan JPJ bagi urusan pindahmilik kenderaan (Urusan pindahmilik hanya boleh dilakukan setelah pinjaman dengan bank diselesaikan).

Manakala untuk wang tunai, bergantung kepada peruntukan Seksyen 17 (1) atau 17(2). Sama ada waris boleh mengeluarkan sendiri atau pun AmanahRaya yang bertanggungjawab untuk membuat pengeluaran dan menyerahkannya kepada waris – waris yang berhak kelak.

Nota : Untuk maklumat lebih tepat, silalah berhubung terus dengan pihak AmanahRaya. Apa yang dikongsikan adalah maklumat secara ringkas sahaja.

BACA : PEMILIK KENDERAAN MENINGGAL – KENA PERGI AMANAHRAYA SAHAJAKAH?

BACA : PEMILIKAN KERETA: KERETA YANG LAMA ATAU BELI YANG BARU?

Tags
Google ads
Back to top button