Artikel Pilihan

PEMILIK KENDERAAN MENINGGAL – KENA PERGI AMANAHRAYA SAHAJAKAH?

Zalifah, (bukan nama sebenar dan nama penuh) adalah seorang balu yang baharu sahaja kehilangan orang tersayang dan tempat bergantung. Turut ditinggalkan selain daripada seorang anak lelaki yang masih belum berupaya menyuapkan makanan ke mulut sendiri adalah sebuah kereta Proton Inspira 2.0 convert bodykit Evo X, sebuah motosikal LC135 V4, KWSP serta beberapa akaun simpanan.

BACA : PEMILIKAN KERETA: KEKALKAN YANG LAMA ATAU BELI BARU?

BACA : DITINDAS SYARIKAT INSURANS-LELAKI INI MELAWAN HABIS-HABISAN DAN AKHIRNYA BELIAU MENANG!

Yang menjadi kegusaran Zalifah sekarang ini adalah Cukai Jalan dan Insuran kereta dan motosikal bakal tamat lagi dua tiga bulan. Zalifah telah merujuk kepada Abam JPJ untuk memperbaharui Cukai Jalan tetapi Abam JPJ hanya memberikan jawapan ringkas tetapi penuh dengan 1000 persoalan.

“Puan kena pergi AmanaRaya”.

Jawapannya ringkas tapi jalan penyelesaiannya macam samar-samar. Itu belum lagi apabila adik-beradik arwah dah mula usha kereta dan motosikal yang tersadai dalam parkir rumah. Jadi, apa yang harus Zalifah buat? Nak kena tunggu 40 hari kah baru boleh berurusan dengan AmanahRaya? Cakap-cakap orang urusan dengan AmanahRaya ni leceh dia lain macam sikit. Tapi betulkah?

Barangkali ini adalah perkara yang pernah atau sedang melanda kita atau sahabat handai kita mahupun sanak saudara kita. Isu ini agak berat. Tapi percayalah, ianya amat bermanfaat. Suka untuk Brader Karrager maklumkan bahawa selain daripada menulis untuk Mekanika pada malam hari dan awal pagi, Brader Karrager juga sebetulnya adalah Mantan Pegawai Pentadbir Pusaka dan Penulis Wasiat. Adalah sikit pengalaman untuk dikongsikan dengan pembaca.

Pentadbiran Harta Pusaka

Sebetulnya apa yang dimaklumkan oleh Abam JPJ tadi adalah supaya membuat pentadbiran pusaka terlebih dahulu bagi mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir / Probet. Bila dah ada, barulah boleh dibuat proses penukaran nama pemilik daripada simati kepada pemilik yang baharu. Badan yang berhak untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir / Probet boleh diperolehi melalui AmanahRaya, Pejabat Pusaka Kecil dan juga Mahkamah Tinggi.

Tetapi,ianya tidak automatik jatuh kepada pasangan mahu pun kepada adik-beradik lelaki si mati. Masih tertakluk kepada Hukum Faraid, akan tetapi JPJ hanya membenarkan satu nama sahaja dimasukkan ke dalam Geran. Ini bukannya Geran Tanah ya boleh letak sampai empat lima orang. Macam mana nak pilih siapa penerima, waris-waris akan tentukan sendiri. Tapi jikalau simati ada meninggalkan Wasiat bahawa kereta hendaklah diserahkan kepada anak angkat, selagi mana ianya tidak melebihi 1/3 daripada jumlah keseluruhan aset simati maka ianya wajib untuk dilaksanakan.

Tapi bagaimana pula dengan kereta yang masih berhutang dengan bank? Minta ampun ya. Jangan pernah bermimpi bank akan melepaskan kereta selagi mana hutang masih belum selesai. Kalau ada ambil perlindungan takaful itu lain cerita. Itu pun belum tentu cover semua. Brader Karrager bercakap ni berdasarkan kisah sebenar ya. Bukan sembang kosong.

Setiap badan yang dinyatakan mempunyai bidang kuasa masing-masing. Cakap-cakap orang juga menyatakan buat di Pejabat Tanah jauh lebih murah, tetapi dengan syarat waris-waris harus mempunyai masa menguruskan sendiri dan manis mulut untuk bertanya mengenai prosedur berikutnya. Borang apa nak kena isi, dokumen lampiran yang diperlukan dan bermacam lagi.

Nah, sekarang ini baru baca sikit dah rasa macam leceh nak uruskan pentadbiran harta pusaka ini. Jadi, sebetulnya leceh itu bukanlah disebabkan oleh AmanahRaya ya adik kakak sekalian. Leceh itu adalah disebabkan keperluan yang perlu dipatuhi, baik dari segi hukum dunia mahupun hukum yang Allah tentukan.

Tentang Hukum Faraid

Secara asasnya, lima waris asas adalah terdiri daripada ibu, bapa, pasangan, anak lelaki dan anak perempuan. Bapa dan anak lelaki adalah Waris Assabah, yang mana ianya akan menjadi pendinding daripada diterima oleh waris tempias seperti adik-beradik simati. Jikalau kita biasa mendengar ada adik-beradik simati yang datang menuntut dengan alasan anak-anak masih kecil walaupun anak lelaki baru berusia seminggu,satu sen pun mereka tidak berhak untuk menuntut. Kalau teringin sangat nak menempah tiket kelas pertama terus ke Neraka, silalah makan harta anak yatim.

Bapa simati pun masih ada lagi, ada hati nak berebutkan harta orang. Jadinya, kita ini sepatutnya sedar tentang siapa waris qadim. Supaya tidak berlaku kekeliruan. Dapatkan nasihat daripada mereka yang benar-benar mahir dan bukannya handal sembang bab harta di alam maya sahaja.

Yang lebih penting, kita kena merancang perwarisan kita dari sekarang supaya tidak menyusahkan waris-waris di masa hadapan, iya tak?

Google ads
Back to top button