Artikel PilihanMotosikal

MOTOGP 2019: HUKUMAN JUMP START YANG TIDAK ADIL BAKAL BERUBAH

Pada perlumbaan MotoGP pusingan Amerika kelmarin terdetik kembali isu jump start yang dikatakan tidak adil kepada pelumba. Ia melibatkan dua pelumba iaitu Joan Mir dari Suzuki dan Maverick Vinales dari Yamaha.

Kedua-dua pelumba ini dikenakan denda “Ride Through Penalty” setelah kamera berkelajuan tinggi berjaya mengesan pergerakan awal mereka sewaktu permulaan grid. Berbeza dengan kesalahan Cal Crutchlow di pusingan Qatar kelmarin yang kelihatan seperti pergerakan kedepan dan ke belakang, Joan Mir dan Vinales jelas tertangkap dilihat bergerak sedikit kedepan sebelum lampu hijau permulaan perlumbaan dinyalakan.

Joan Mir melakukan Ride Through Penalty dua lap selepas diberitahu tentang denda tersebut sementara Vinales pula tersalah respon dan masuk ke area Long Lap dan kemudian ikut masuk ke Pit Lane untuk Ride Through Penalty.

Isunya ialah ketidakpuasan hati pelumba terhadap penalti yang menyebabkan pelumba kehilangan sekitar 15 saat (bergantung pada pit lane di litar mana) berbanding “keuntungan” yang mereka peroleh jika melakukan jump start mungkin hanya 1 atau maksima 2 saat.

Vinales memberitahu bahawa beliau bukan sengaja untuk mendahului perlumbaan (jumps start) sebaliknya transmisi Yamaha M1 tersebut menyebabkan motornya bergerak walaupun saat klac belum dilepaskan sepenuhnya. Ini adalah luarbiasa kerana putaran crankshaft motosikal MotoGP hampir kesemuanya sudah menggunakan Counter/ backward Rotating Crankshaft yang memungkinkan pergerakan ke depan sangat minima atau tiada langsung.

Di kalangan pelumba juga bersetuju bahawa hukuman penalti ini perlu dikaji semula. Jump start secara tidak sengaja seperti yang berlaku pada Crutchlow, Vinalis dan Mir seharusnya mendapat hukuman yang lebih ringan. Misalnya penalti “long Lap” berbanding Ride Through Penalty.

Ada cadangan untuk mengubah peraturan ini pada pertengahan musim 2019, namun Crutchlow sedikit berang kerana sudah menerima hukuman tak adil ini lebih awal. Begitu juga Vinales dan Mir.

Pendapat kami juga sama, hukuman ini tidak sepadan dengan kesalahan yang dibuat kerana ia tidak membabitkan apa-apa risiko bahaya kepada pelumba lain, ia hanya kesalahan yang sangat kecil dan lebih bersifat teknikal.

Tags
Google ads
Back to top button