
BENARKAH PERODUA BEZZA GENERASI KEDUA AKAN DILANCARKAN TAHUN INI? SALAH TUE…
Secara umum pengguna di Malaysia mengetahui pengganti Perodua Axia akan menerjah masuk ke pasaran tidak lama lagi bagi menggantikan Axia generasi pertama yang membuat kemunculan pada 2014. Axia generasi pertama ketika itu menggunakan Daihatsu Global A Platform, iaitu platform lama sebelum DNGA
Apabila Perodua Bezza dilancarkan pada tahun 2016, satu perkara yang mengejutkan ialah bagaimana Perodua boleh mengolah Platform ini yang asalnya digunakan oleh Axia bagi menghasilkan Bezza. Malah Bezza dan Axia juga berkongsi wheelbase atau jarak roda yang sama iaitu 2455mm dan lebar yang sama iaitu 1620mm.
Tapi dari segi gaya rekaan luar dan dalam, Bezza dan Axia adalah jauh berbeza seperti rekaan bampar depan, bampar belakang, rekaan lampu depan LED bagi Bezza (Axia menggunakan projektor halogen) serta beberapa perubahan yang kecil dibuat pada rekaan dalaman bagi membezakan kedua-dua model
Ia bukan sekadar mengimpal bonet di belakang Axia, dan gunakan semua komponen Axia bagi menghasilkan Bezza. Bergantung pada varian yang ada sekarang, Bezza baru memerlukan banyak komponen baru untuk direka, melalui proses tender kepada pembekal atau vendor dan dihasilkan secara besar-besaran.
Proses penghasilan komponen baru ini bukan sahaja melibatkan rekabentuk komponen, tapi ia melibatkan proses kajian bagaimana komponen ini perlu dibuat langkah demi langkah, peralatan yang terlibat, proses, mesin dan latihan pada juruteknik bagaimana untuk memasang komponen baru bagi Bezza.

Jadi adalah perkara biasa untuk vendor dan juga pembekal mencari sumber kewangan melalui bond dan juga pinjaman kepada institusi kewangan yang ada di dalam negara. Dan jumlah bukanlah sedikit kerana satu komponen untuk dihasilkan melalui proses plastic injection sendiri, mould yang perlu dihasilkan sudah berharga ratusan ribu ringgit
Jadi apabila permohonan pembiayaan kewangan dan kertas kerja ini sampai ke institusi kewangan, ia akan dinilai serta dianalisa oleh badan pelaburan bagi melihat risiko terhadap pinjaman tersebut. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan desas-desus berkenaan dengan pembangunan model baru ini akan diketahui melalui pihak perbankan.
Setelah merujuk kepada beberapa keratan berita beberapa hari lepas, ya memang tidak dinafikan pembangunan model generasi kedua Bezza sedang berjalan tapi Bezza generasi kedua tidak akan dilancarkan pada tahun 2023.
Pertama, jika dilihat dari sejarah sendiri model Bezza membuat kemunculan pada tahun 2016 iaitu 2 tahun selepas pelancaran Axia pada tahun 2016. Bezza telah menerima proses naiktaraf pada tahun 2020 dengan menerima lampu depan LED, lampu belakang baru serta sistem ASA bagi varian AV.
Kedua, proses pembangunan sesebuah kereta tidak semudah yang disangkakan. Bak kata netizen, hari ini kahwin takkan terus beranak pinak dan harga ayam turun. Proses pembangunan, rekaan, tetapan peralatan untuk pengeluaran, ujian mass pro dan proses tetapan kualiti mungkin akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan.
Jadi secara realiti, jika betul analisis yang dibuat oleh pihak pelaburan bank maka kita akan melihat Perodua Bezza generasi kedua akan membuat kemunculan pada akhir tahun 2024 atau awal tahun 2025. Untuk pembaca yang pernah terlibat dalam proses penghasilan produk automotif, ia adalah satu sela masa yang logik.

Apa yang lebih menarik ialah awal Januari 2023, satu fail telah dikemukakan pada Directorate General of Intellectual Property (DGIP) Indonesia bagi pembangunan sebuah sedan. Jika anda teliti, maka anda akan perasan yang sedan ini sangat menyerupai Toyota Vios generasi ke 4 yang akan dilancarkan di Malaysia pada tahun 2023
Apa yang menarik berkenaan dengan Toyota Vios generasi ke 4 ialah ia dibangunkan dengan menggunakan platform DNGA-B yang turut digunakan oleh Daihatsu Xenia, Toyota Veloz serta Perodua Alza. Mungkin Perodua Bezza yang akan dilancarkan nanti adalah varian yang murah kepada Toyota Vios.
Praktis ini telah dibuat oleh Perodua dan juga Toyota dengan pelancaran Perodua Rush / Perodua Aruz, Perodua Alza / Toyota Veloz dan Toyota Agya / Perodua Axia
Jadi betul ke Perodua Bezza akan dilancarkan pada tahun 2023? Karut dan besar kemungkinan ialah TIDAK MUNGKIN BERLAKU melainkan semua kakitangan yang terlibat ialah robot yang bekerja 24 jam tanpa tidur. Perodua Bezza generasi kedua dilancarkan pada hujung tahn 2024 atau awal 2025. Noktah.

