Artikel Pilihan

FORD F-SERIES IALAH HAILAK PALING POPULAR DI AS – KERETA SEDAN PUN KALAH BOH

Ford F-150 bakal menyambut ulang tahun yang ke-50 tahun depan. Tua sikit je dari Abang Japar dan muda jauh dari Abang Beras. Dalam usia 49 tahun ia merupakan trak paling laris di Amerika Syarikat selama 48 tahun! Bukan itu sahaja, ia juga merupakan kenderaan paling laris di sana untuk 43 tahun! Fuh hebat weh.

Sejak tahun 1977, dua tahun selepas F-150 pertama dihasilkan, Ford telah mengeluarkan 33 juta unit F-Series dari kilang-kilangnya yang berterabur di sekitar AS.

Apa rahsia trak F-Series ni sampai laku betul mengalahkan popia Vietnam? Mudah je, ia menawarkan pelbagai variasi dari trak kegunaan ringan F-150 hinggalah ke trak tugas berat (Super Duty) F600 Chassis Cab. Dengan kata lain ia menawarkan pelbagai pilihan mengikut kesesuaian dan permintaan pengguna.

Formula yang sama juga digunakan oleh pesaing terdekatnya, Silverado keluaran Chevrolet. Ya keduanya bukan hanya bersaing dalam kategori kereta otot tapi juga dalam segmen trak.

F-Series juga mempunyai pelbagai pilihan trenkuasa berdasarkan keperluan pengguna. Dari enjin diesel hinggalah kepada enjin V8 kegilaan golongan pria di AS. Itu baru pilihan enjin, belum lagi pilihan kemasan dan trim. F-150 sahaja dah ada lapan pilihan trim untuk 2025.

Itu belum termasuk Powerboost Hybrid F-150 yang menjimatkan bahan api dan F-150 Lightning yang berkuasa elektrik sepenuhnya. Khas untuk golongan yang suka memandu sendiri kereta kawalan jauh saiz sebenar.

Silverado dikatakan akan menjadi lebih kompetitif menjelang 2025 setelah model EV mereka mengalami kelewatan awal tahun ini. Tapi sekarang ia sudah mula sampai ke tangan pembeli dan dijangka mampu menarik minat lebih ramai bakal pembeli.

Namun rasanya akan susah untuk Silverado menggugat reputasi F-Series yang dilihat agak dominan dalam pasaran trak AS.

Google ads
"
"
Back to top button