
BINTIK HITAM PADA CERMIN HADAPAN. APA FUNGSI SEBENARNYA?
Pernahkah anda perasan tentang bitnik-bintik hitam di bahagian atas cermin hadapan? Kadang-kadang di cermin lain pun ada. Kalau perasan, tahniah! Anda seorang yang peka.
Tetapi, tahukah anda apa fungsi bintik hitam tersebut dan kesannya pada cermin? Jom baca.
Bintik hitam ini dikenali sebagai frit dan sebenarnya komponen ini merupakan bahagian yang penting pada cermin. Frit secara asasnya berasal daripada cat seramik yang dibakar dan meresap ke dalam kaca.

Ia dihasil menggunakan kaedah pembakaran di dalam ketuhar dengan suhu yang tinggi.
Fungsinya adalah untuk menghasilkan cengkaman yang baik pada permukaan cermin. Hal ini bagi memastikan keselamatan kepada cermin tersebut supaya terus melekat pada kenderaan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Lapisan berwarna hitam itu juga bertindak sebagai ruang kepada pelekat supaya kelihatan lebih kemas dan stabil. Tanpa lapisan ini, pelekat jenis cecair pastinya akan meninggalkan kesan yang tidak cantik di permukaan cermin.

Lapisan itu juga menghasilkan perlindungan UV daripada cahaya matahari. Namun, lapisan berwarna hitam ini akan berkurang fungsinya dari semasa ke semasa sekiranya terdedah kepada suhu panas secara berterusan.
Apa yang pasti, lapisan berwarna hitam tersebut memainkan peranannya dengan menyebarkan suhu tersebut supaya lebih sekata dan tidak tertumpu kepada satu tempat. Nampak kecil tapi besar fungsinya kan!