
CERMIN KERETA, SUNROOF ATAU PANAROMIC ROOF BOLEH PECAH TIBA-TIBA ?
Satu kejadian yang tular baru-baru ini melibatkan sebuah SUV Jaecoo J7, dimana sunroof atau cermin suria yang dipasang pada SUV buatan Jaecoo ini tiba-tiba pecah tanpa sebarang sebab yang jelas. Semakan penulis mendapati kejadian yang berlaku ini bukanlah yang pertama kali berlaku
Sebaliknya satu kejadian yang hampir sama telah berlaku pada awal tahun 2025 di Sarawak, namun ia melibatkan cermin depan ataupun windshield. Bagi kejadian yang terbaru, pengguna melaporkan cermin suria Jaecoo J7 miliknya tiba-tiba pecah sewaktu dipandu
Mari kita semak apa sebenarnya yang berlaku dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan cermin suria ini pecah
1. Tekanan struktur – jika anda belajar berkenaan dengan struktur kenderaan, cermin depan dan cermin sebenarnya menerima tekanan daripada cesi kenderaan. Jika tekanan yang diterima adalah terlalu besar dan tidak mampu disokong, cermin akan pecah disebabkan cermin bersifat brittle bukannya ductile
2. Cesi yang fleksibel -cesi kenderaan juga bukanlah bersifat terlalu rigid, melainkan kita bercakap mengenai kereta lumba. Cesi yang sedikit terherot atau bergerak semasa selekoh, melalui permukaan jalan tidak rata atau melalui halangan sehingga menyebabkan cesi mengalami terherot sedikit. Keadaan ini menyebabkan cermin menerima tekanan berlebihan daripada cesi
3. Perubahan suhu melampau – perubahan suhu panas dan sejuk yang melampau serta ketara seperti terdedah cermin kereta yang disimbah dengan air pada hari yang panas juga boleh menyebabkan cermin menjadi retak. Keadaan ini disebabkan oleh proses pengembangan dan pengecutan yang berlaku terlalu cepat dan tidak sekata
4. Kecacatan pembuatan – ini juga salah satu faktor yang tidak dapat dinafikan. Cermin depan merupakan cermin dua lapis keselamatan yang melalui proses pemasangan perekat di bahagian tengah sebelum dipanaskan.
Bagi cermin lain, ia menerima rawatan haba (heat treatment) bagi membantu cermin mencapai kekerasan (hardened) yang dikehendaki oleh pengeluar. Sebarang objek asing atau kesilapan semasa proses pengeluaran akan menyebabkan cermin menjadi retak tanpa sebab selepas dipasang pada kereta
Cermin suria atau panaromic sunroof juga dihasilkan dengan kaedah tempered glass (heat treatment) bagi menjadikan kenderaan lebih selamat. Namun keadaan ini menyebabkan cermin menjadi lebih brittle, mudah pecah menjadi serpihan yang selamat pada pemandu
5. Batu atau serpihan – jika anda perasan, cermin akan menjadi cepat retak jika terkena batu atau serpihan pada bahagian tepi cermin. Ini disebabkan bahagian tepi cermin menerima tekanan daripada cesi dan memudahkan ia retak seribu berbanding jika batu tadi terkena di bahagian tengah
Jika tidak dibaiki dengan proses kimia, bahagian retak ini tadi akan memanjang ke seluruh bahagian cermin dan mengganggu proses pemanduan disebabkan getaran, tekanan angin dan juga perbezaan suhu kabin dan suhu luar
Walaubagaimanapun semua punca di atas adalah berdasarkan pemerhatian pada kes lain yang telah berlaku. Jika anda ingin selamat, kami nasihatkan anda untuk membeli perlindungan takaful pada cermin depan, sisi, cermin suria dan cermin panaromic.
Kos pembaikan dan penukaran cermin sebenarnya tidak murah, jadi mengambil perlindungan takaful adalah tindakan yang selamat dan bijak.