Artikel Pilihan

BMW E92 335i. BERBALOI ATAU TIDAK ?

BMW sering dikenali dengan barisan model M-Series nya seperti 1M, M2, M3, M4, M5 dan M6. Ada juga barisan SUV yang turut berada di barisan M-Series seperti X5M dan X6M.

Namun pada hari ini kita bukan mahu bercerita tentang model-model M Series, hari ini kita mahu fokus pada satu sub-model yang boleh dikatakan “Underrated” tapi sebenarnya ia merupakan jentera yang power dan bagus.

Jentera yang dimaksudkan adalah BMW E92 335i. Ye Tuan-Tuan. E92. Jentera ni boleh dikatakan kereta “lama”. Namun masih relevan dan evergreen dan masih membuatkan orang menoleh.

Mari kita selusuri sedikit sejarah jentera ini.

Pertama sekali, jentera ini merupakan model terakhir BMW 3 Series Coupe. Hal ini kerana, BMW memecahkan sub model kepada 4 Series pada model berikutnya. Oleh itu, model 3 Series berikutnya hanya terdapat dalam bentuk Saloon dan Touring/Wagon sahaja.

Sejarah jentera ini bermula pada tahun 2006 apabila pihak BMW melancarkan produksi model ini selepas setahun model BMW E90 3 Series berada di pasaran.

Untuk spesifikasi jentera, kita bermula dengan sistem suspensi jentera ini. Jentera ini menggunakan sistem suspensi jenis McPherson Strut pada bahagian hadapan dan 5 Link Multilink pada bahagian belakang. Ia juga dilengkapi dengan Anti-Roll Bar pada bahagian hadapan dan belakang.

Sistem suspensi pada BMW E92 335i ini juga ditala khas supaya dapat memberikan pengalaman pengendalian yang mantap. Semantap mana ? Sangat mantap sehinggakan pemandu merasakan jentera ini sangat stabil walaupun dipandu laju ketika mengambil selekoh. Walaupun begitu, seperti jenama BMW yang diketahui jenama mewah, pihak BMW tidak mengambil enteng faktor keselesaan. Jentera ini masih sangat selesa dipandu tidak kira perjalanan dekat atau jauh.

Seterusnya kita pergi kepada bahagian brek jentera ini. Sistem brek jentera ini menerima Brake Caliper 1 Piston pada bahagian hadapan dan dipadankan dengan rotor bersaiz 348mm. Pada bahagian belakang pula, ia menerima Brake Caliper 1 Piston dipadankan dengan rotor bersaiz 336mm.

1 piston ? Cukup ke ?

Jangan risau, jurutera BMW sudah membuat pelbagai ujian dan sistem brek ini cukup kuat untuk menghentikan jentera seberat 1.5 tan ini.

Dari sistem brek, kita turun pula ke bahagian paling penting iaitu rim dan tayar. Pihak BMW memadankan rim bersaiz 17″ bersama tayar bersaiz 225/45 R17 pada bahagian hadapan dan 255/40 R17 pada bahagian belakang. Tak sama saiz ye Tuan-Tuan, jangan memandai pergi “Rotate” pula.

Habis sudah bahagian bawah jentera ini. Sekarang kita pergi ke bahagian dalam. Jentera ini menduduki hierarki yang agak tinggi dimana kedudukannya adalah betul-betul dibawah M3. Oleh itu, spesifikasi bagi “Interior” dan “Entertainment System” yang diterima adalah tinggi.

Sistem iDrive bersama skrin bersaiz 8.8 inci adalah standard bagi jentera ini. Disamping itu, bahagian dalam ini juga menerima sentuhan M-Sport pada beberapa komponen. Roda Steering adalah antara komponen yang menerima sentuhan ini dimana ia dibalut dengan kulit dan mempunyai logo M-Sport dibawahnya.

Kerusi jentera ini dikawal secara elektronik melalui butang kawalan yang disediakan. Kerusi juga menerima kemasan kulit dengan padanan warna sama dengan papan pintu sekaligus menyerlahkan aspek mewah jentera ini. Aspek keselamatan juga dititikberatkan dimana jentera ini menerima 6 unit “Airbag” keseluruhan.

Walaupun 2 pintu, jentera ini mempunyai ruang kargo sebesar 440 Liter. Cukup besar untuk memuatkan diri anda sendiri di dalamnya.

Faktor luaran jentera ini sangat subjektif. Ada orang minat, ada yang tidak. Tapi pada saya, cukup menawan, sangat menawan dan hati pun tertawan. Ditambah pula dengan “Frameless Door”, sangat “Gorgeous” omputeh kata.

Dah habis cerita bahagian dalaman dan kuaran. Kita pergi pula kepada jantung jentera ini iaitu enjin. Jentera ini menerima dua varian enjin iaitu N54B30 untuk model tahun 2006-2009 dan N55B30M0 bagi model tahun 2010-2013.

Enjin ini merupakan enjin 6 Silinder sebaris bersesaran 2,979cc(3.0L). Enjin ini dipadankan bersama dengan 2 unit turbo dan mampu menghamburkan kuasa sebanyak 302hp pada 5,800rpm dan daya kilas sekuat 400Nm pada 1,400-5,000rpm.

Ada yang tanya, enjin N54 dan N55 mana best ? Mana lebih “Reliable”? Kita akan kupas di artikel mendatang.

Kuasa pada enjin ini kemudian disalurkan kepada sistem transmisi automatik 6-kelajuan daripada ZF. Sistem transmisi ini juga ditala supaya kuasa yang dihamburkan mampu dilepaskan dengan lancar tanpa rasa “jerking”.

Tuan-Tuan, 302hp dan 400Nm Torque. Dan jentera ini berusia 8 hingga 15 tahun. Sebab itulah saya kata, jentera ini mampu kekal relevan sehingga sekarang dan mungkin 10 tahun mendatang.

Laju ni Tuan-Tuan, kelajuan tertinggi adalah 250km/h(disekat secara elektronik) dan kecepatan 0-100km/h adalah 5.5 saat. Gila tak laju, berat kereta je dah 1.5 tan !

Dah laju macam ni, kuat tak makan minyak ? Tak juga Tuan-Tuan. “Fuel Consumption” jentera ini berada pada kadar 9.5L/100km “Combined”. Kapasiti tangki bahan api adalah 63 Liter dan satu tangki penuh mampu memacu jentera ini sejauh 663km perjalanan secara purata bergantung kepada keberatan kaki pemandu.

Wow ! Minyak jimat, laju, lawa, mewah. Apa lagi nak Tuan-Tuan ?!

Dengan harga sekitar RM80,000 sehingga RM99,000, jentera ini sangat berbaloi untuk dimiliki. Kadar cukai jalan pula hanyalah RM2,077 untuk setahun(Semenanjung Malaysia). Kos penjagaan ? Kita akan bincangkan pada artikel akan datang. Cuma yang saya mahu beritahu, ketika baharu, jentera ini berharga hampir RM500,000. Oleh itu, itulah, kena faham lah. Haha

Antara faktor lain yang membuatkan jentera ini sangat berbaloi untuk dimiliki adalah potensinya yang tinggi untuk dinaiktaraf. Macam mana tu ? Senang cakap “modify” lah.

Sebagai contoh, proses “Tuning” bersama beberapa “Aftermarket Performance Parts” merangkumi “Cold Air Intake”, “Catless Downpipe”, dan “Intercooler with Pipe Set” mampu menaikkan kuasa enjin ini sehingga 400hp dan daya kilas sekuat 540Nm. Dah lebih kurang M3 dah pergi dia.

Namun sebelum buat benda-benda macam ni, pastikan enjin dan transmisi berada dalam keadaan sihat dan bebas dari kebocoran udara mahupun minyak.

Harus diingat juga, peningkatan kuasa datang dengan pakej tekanan kepada komponen-komponen asal enjin, suspensi dan juga brek. Sebaiknya naiktaraf juga sistem suspensi dan brek sekali jalan.

Apa yang saya lihat sekarang, jentera ini sudah tidak banyak dipasaran “Used Car”, sekiranya berpeluang dan berminat untuk memiliki jentera ini, teruskan sahaja niat tu.

Jadi, inilah sedikit sebanyak cerita berkenaan jentera BMW E92 335i ini. Kenapa saya tulis ? Sebab saya sendiri berminat dengan jentera ini. Dan sebab jentera ini memang “best” bagi saya.

Tengah check Mudah ke tu ? Haha

Google ads
Back to top button