Motosikal

PIALA UNTUK MALAYSIA – DAMOK

“Piala ini untuk Malaysia!,” kata pelumba muda negara, Syarifuddin Azman mendedikasikan kejayaan muncul juara Perlumbaan 1 saingan CEV Moto3 Remaja Dunia FIM di sirkit de Barcelona-Catalunya,Sepanyol.

Pelumba pasukan SIC Racing berusia 19 tahun itu berkata, kesemua kerja keras oleh diri dan pasukannya, berbaloi selepas kemenangan pertamanya itu, walaupun bermula daripada petak ke-10.

“Kami telah bekerja keras bagi mendapatkan penalaan motosikal yang tepat sepanjang minggu, dan semuanya berbaloi.

“Saya berterima kasih kepada keluarga saya, penaja, pasukan dan rakan-rakan. Piala ini untuk Malaysia.

“Saya bersyukur untuk hari ini. Saya menang perlumbaan pertama, namun saya jatuh pada perlumbaan kedua selepas seorang pelumba lain melanggar saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelumba kelahiran Selangor itu menang selepas melepasi garisan penamat dalam masa 29 minit dan 32.553 saat (s) pada perlumbaan sejauh 74.5 kilometer, menewaskan dua pelumba tuan rumah David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin amat gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pelumba Malaysia dalam kejohanan pembangunan bakat, yang terarah kepada Kejuaraan Dunia MotoGP.- Bernama

Google ads
Back to top button