
BMW M3 CS TOURING – WAGON DENGAN KUASA 543 KUASA KUDA BIKIN PAPA GALAU
Dewasa ini semacam perang Wagon pula diantara pengeluar kenderaan utama dunia untuk menghasilkan sebuah model Wagon / Estate / Touring yang paling laju. Mungkin para pengeluar semakin memahami jiwa seorang papa / abah / apak / daddy yang memerlukan sebuah kenderaan keluarga yang laju dan tangkas.
Untuk rekod, BMW pernah membuat kejutan apabila memberikan lencana M3 terhadap model Touring mereka pada tahun 2022. Dan untuk tahun 2025 ini, BMW sekali lagi menggembirakan hati para kaum adam apabila memperkenalkan pula BMW M3 CS Touring. Sudah tentu ini bukanlah Wagon yang biasa – biasa. Ianya adalah sebuah Wagon yang berprestasi tinggi. Dan bukanlah suatu rahsia lagi sekiranya ada pihak yang ingin membandingkannya dengan Audi RS4 mahu pun Mercedes-AMG C63.

Sama seperti varian Competition Sport model versi salon, CS versi Touring ini turut diberikan perhatian terhadap prestasi trenkuasa.
Trenkuasa BMW M3 CS Touring ini menggunakan enjin 3.0 liter twin turbo yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 543 HP pada 6,250 RPM dan tork 650 Nm. Ianya memberikan kuasa tambahan 20 HP berbanding model M3 Touring yang telah diperkenalkan sebelum ini.
Ciri-ciri berprestasi tinggi versi CS Touring ini termasuklah pemadanan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda M xDrive memberikan keseronokan dinamik dan daya tarikan tertinggi. BMW M3 CS Touring ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam dalam 3.5 saat. Bayangkan punyalah laju. Itu jam kalau nak ajak anak bini pergi IKEA sahih lagi cepat sampai. Tapi masalahnya kalau nak pergi IKEA Damansara tu dia punya jem kat traffic light depan OU tu macam hanat sikit. Sudahnya lambat juga sampai ke IKEA tu.

Di bahagian belakang terdapat ekzos khusus M dengan penyenyap belakang titanium untuk menjadikan bunyi lebih merdu. Namun ianya bakal berubah apabila sang pemandu menukar mode M termasuklah Sport dan Sport+ untuk menghasilkan yang lebih garang.
Bagi mengurangkan berat keseluruhan Wagon ini, bahan carbon-fibre-reinforced plastic (CFRP) telah digunakan dengan lebih banyak meliputi bonet kereta, pembahagi hadapan, salur masuk udara hadapan, penutup cermin sisi dan peresap belakang.

Bahagian dalaman turut menerima kemasan CFRP ini meliputi tempat duduk bucket, shift paddle, jalur trim dan juga konsol tengah. Ini berjaya membuatkan BMW M3 CS Touring ini lebih ringan 15 kg berbanding model BMW M3 Touring.
Khabarnya BMW akan membina dalam unit yang terhad sahaja untuk Wagon yang pastinya menjadi buruan para Abah / Papa / Apak / Daddy sekalian. Ianya dijangka dijual pada harga sekitar €150,000 (RM692,259).



