
BUKAN JDM, BUKAN KERETA SPORT – “SEKENHEN” PUN LAKU KERAS
Hari ini terlintas dalam laman media sosial berkenaan dengan hantaran Perodua Alza terpakai yang didaftarkan pada tahun 2023. Untuk unit terbaru, Perodua Alza AV 1.5 dijual pada harga RM 75,500. Ajaibnya dalam laman sesawang kereta terpakai, Perodua Alza AV 2023 berkenaan dijual pada harga RM 73,900
Berapa harga yang Carsome beli kita letak ke tepi dulu, namun harga yang dipaparkan oleh laman sesawang berkenaan menunjukkan penurunan harga yang sangat minima (+- 2%) berbanding dengan unit terbaru didaftarkan.
Perodua Alza bukanlah kereta unit terhad, bukan kereta kegilaan geng JDM, tak boleh lipat atap dan bukannya kereta sport. Ia adalah MPV bajet rakyat dengan rekaan seperti kereta mayat, dan rupanya tidaklah seksi melainkan anda bandingkan dengan kucing bunting
Jadi kenapa Perodua Alza bagi unit terpakai masih lagi mahal di pasaran?
1. Permintaan tinggi dan bekalan yang terhad – Selepas dilancarkan pada tahun 2022, tempoh menunggu Alza adalah sekitar 8 bulan disebabkan permintaan yang tinggi selepas dilancarkan. Disebabkan ramai pembeli yang memerlukan kenderaan dengan segera dan enggan menunggu, unit terpakai adalah pilihan kedua
Keadaan ini menyebabkan unit terpakai Perodua Alza laku bak pisang goreng panas dengan pembeli sanggup membeli unit terpakai walaupun faedah pinjaman unit terpakai lebih mahal. Namun tak dinafikan ada pembeli yang membeli dengan kaedah tunai
2. Tempoh pemilikan pendek – jika dilihat dari segi tempoh pemilikan, kebanyakan Alza yang dijual dalam tempoh yang singkat iaitu kurang 2 tahun. Ketika dilancarkan, ramai pembeli mengambil sentimen berhati-hati, membeli kenderaan yang boleh membawa mereka dari Poin A ke Poin B
Apabila ekonomi bertambah baik, pembeli awal ini tadi akan menukar kepada kenderaan yang lebih baik. Malah ada pemilik yang hanya memandu sekitar 10,000km dalam setahun sahaja menjadikan faktor kehausan adalah sangat minima
3. Spesifikasi yang lebih baik – model baru bukan sahaja dibina dengan menggunakan platform DNGA-B, malah turut dipasang dengan enjin dual VVT-i, transmisi DCVT, 6 beg keselamatan udara dan pelbagai ciri keselamatan terkini dari pakej Perodua Advance Safety Assist
Malah dalam kelasnya dan julat harga, Perodua Alza menawarkan pembagai ciri moden termasuklah brek cakera belakang, lampu depan adaptif, sambungan peranti Apple Car Play / Android Auto dan juga brek parkir elektrik lengkap dengan ciri Auto Hold. Keadaan ini menjadikan Alza seperti berbaloi untuk dimiliki walaupun dari unit terpakai
4. Persepsi jenama – walaupun Perodua bukanlah kalis kerosakan, namun sejarah pemilikan kenderaan Perodua di kalangan bekas pemilik yang tidak menyusahkan menjadikan Alza sebagai kenderaan pilihan berbanding dengan jenama lain
Enjin Alza dipasang dengan timing chain, tidak dipasang dengan turbo dan enjin 2NR-VE adalah berasal dari keluarga enjin yang tahan lasak. Apabila digabungkan dengan penggunaan bahan api yang rendah, kos servis yang tidak membebankan serta aksesori yang mudah didapati, permintaan untuk unit terpakai kekal tinggi
5. Ada kembar, tapi mahal – Toyota juga turut menghasilkan Toyota Veloz yang menggunakan asas yang sama dengan Alza. Boleh dikatakan Veloz merupakan varian Alza yang paling mewah dan tinggi, termasuklah menawarkan rim 17 inci, kemasan dalaman cerah, lampu belakang lebih menarik, lampu kabin dan sudah tentu logo Toyota yang lebih premium
Tapi ini menyebabkan Veloz dijual pada harga sekitar RM 95,000 atau RM 20,000 lebih tinggi berbanding dengan Perodua Alza AV. Pada harga tersebut, adalah lebih lojik untuk membeli Alza berbanding dengan membeli Veloz terpakai
6. Tiada saingan – Honda BR-V sudah pun tidak dijual sebagai unit baru, manakala Proton Exora juga telah dihentikan pengeluarannya. Buat masa ini selain daripada Toyota Veloz, Perodua Alza hanya menerima saingan daripada Mitsubishi Xpander sahaja
Walaupun “ride & handling” Xpander jauh lebih baik serta kualiti pusat servis yang lebih bagus, namun harga yang diletakkan adalah tinggi selain ia tidak menawarkan ciri keselamatan aktif yang setara dengan Perodua Alza. Pendek kata Alza tiada saingan terdekat dalam segmen baru atau terpakai bagi MPV bajet