
CEO LEAPMOTOR TAK FASIH BAHASA INGGERIS, TAPI POWER…..
Bayangkan kalau jenama kereta bermula dengan perkataan Língpǎo, mungkin penulis perlu menulis dengan panjang lebar semata-mata untuk menerangkan maksud perkataan ini kepada rakan-rakan penulis yang sedang ketawa sehingga urat kentut mereka putus
Percayalah situasi nama-nama dan jenama pelik daripada China ini sebenarnya telah terjadi, kerana walaupun maksud nama ini datang dengan maksud yang baik namun cara sebutannya agak pelik dan asing dalam sebutan bahasa baku Melayu
“Nama macam carut”, itu adalah komen pertama yang sinis pasti akan muncul
Jadi apabila pengasas Leapmotor Mr. Zhu Jiangming dan Mr. Fu Liquan menubuhkan syarikat ini pada tahun 2015, langkah strategik pertama yang dibuat ialah menamakan syarikat automotif sebagai Zhejiang Leapmotor Technology Co atau ringkasnya Leapmotor

Bukan Língpǎo.
Dalam bahasa melayu, leap membawa maksud melompat lebih jauh dan amat sesuai dengan aspirasi Leapmotor yang inginkan pembaharuan dalam industri kereta elektrik. Berbeza dengan syarikat automotif klasik China yang sudah lama bertapak, Leapmotor adalah syarikat baharu (startup company)
Leapmotor juga bukanlah syarikat yang ditubuhkan secara usahasama dengan kerajaan negeri atau pihak berkuasa China (state own Company). Dalam perniagaan, keupyaaan untuk bertahan dalam 10 tahun pertama selepas kewujudan syarikat merupakan satu pencapaian yang bagus
Nama Leapmotor adalah agak asing bagi penulis sehinggalah jenama ini membuat kemunculan sekitar bulan Oktober 2024 dengan pelancaran sulung SUV elektrik segmen D iaitu Leapmotor C10. Bagi penulis ia adalah fenomena biasa kebanjiran produk automotif China selepas COVID19
Tapi Leapmotor tidak datang seorang diri di Malaysia, sebaliknya jenama ini dinaungi oleh “abang besar” Stellantis, yang menjadi entiti ke empat terbesar dunia dari segi jualan berdasarkan data dari tahun 2023. Stellantis membeli 20% saham Leapmotor bagi membolehkan Leapmotor menembusi pasaran 30 buah negara dan 130 pasaran dalam masa yang singkat

Malah Stellantis juga memiliki sehingga 33 fasiliti pemasangan kenderaan yang membolehkan Leapmotor mengembangkan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi dan memperkenalkan pelbagai jenis model yang sesuai mengikut kehendak pasaran tempatan
Berbeza dengan jenama lain yang kelihatan sedikit ragu-ragu dengan keupayaan pasaran negara, Leapmotor dengan pantas mengumumkan langkah untuk menghasilkan lebih banyak produk Leapmotor dalam negara melalui pembukaan kilang CKD bersama-sama Stellantis di Gurun Kedah
Perjanjian ini akan menyaksikan kenderaan jenama Leapmotor akan mula dihasilkan di Gurun bermula pada penghujung tahun 2025 dengan pelaburan awal sebanyak RM 25 juta sekaligus membuka peluang pekerjaan dan perniagaan sokongan dalam negara
Walaupun rancangan awal hanya melibatkan Semi Knock Down (SKD), namun Leapmotor yakin dengan keupayaan jenama Leapmotor dengan pengenalan model C10 dan besar kemungkinan varian C10 (C11) dengan varian pengecaj lanjutan (REEV) dan juga SUV B10 elektrik akan dipasang di fasiliti Gurun
SUV elektrik segmen D yang diperkenalkan oleh Leapmotor iaitu C10 dijual pada harga yang cukup kompetitif sehingga ia dipilih sebagai kenderaan rasmi Batik Air untuk pergerakan antara terminal di Lapangan Terbang Kuala Lumpur

Berdasarkan maklumbalas sidang media bersama sama dengan Mr. Zhu Jianming CEO Leapmotor dan juga Mr. Xin Tianshu memberi sedikit sebanyak gambaran berkenaan dengan prospek pasaran Leapmotor bagi pasaran Malaysia
Antara intipati sesi soal jawab media dengan bos Leapmotor ialah SUV C10 akan dikemaskini dengan pengenalan platform terbaru termasuklah menggunakan rekaan sistem 800 volt bagi menggantikan sistem 400 volt.
Pada hemat penulis ini membenarkan C10 menerima sistem pengecasan arus terus (DCFC) yang lebih pantas berbanding dengan pengecaj 84kW yang ada sekarang. Malah Leapmotor juga akan memperkenalkan SUV yang lebih kompak berbanding dengan model B10 yang akan dikenali dengan nama A10 dan juga kereta elektrik kompak yang dikenali dengan nama B05
Walaupun besar kemungkinan SUV C11 yang menggunakan sistem EREV akan dibawa masuk, namun wawasan Leapmotor sebenarnya ialah pengenalan kenderaan yang lebih pintar, dibangunkan menerusi platform LEAP 3.5 dan diintegrasikan dengan cip yang lebih berkuasa pada masa depan

Dengan pembangunan infrastruktur yang mapan dan teknologi bateri menjadi lebih berkuasa, CEO dan COO Leapmotor akan menumpukan pembangunan EV sepenuhnya pada masa hadapan. CEO Leapmotor iaitu Mr. Zhu Jianming sendiri merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan elektronik menegaskan adalah lebih mudah untuk mengawal parameter kereta elektrik berbanding dengan REEV
Walaupun tidak boleh berbahasa inggeris dengan fasih, visi dan misi CEO nampak jelas dan tidak merapu seperti Elon Musk. REEV tetap akan digunakan, namun ia akan dikhususkan bagi kenderaan atau platform yang lebih mewah khusus untuk perjalanan jauh tanpa henti melebihi 1000km untuk sekali pengisian petrol dan sekali caj.
Malah temubual penulis bersama-sama dengan jurutera Leapmotor sendiri mendedahkan bagaimana CEO Leapmotor duduk bersama-sama dengan pasukan R&D bagi memberikan idea dalam penghasilan platform LEAP 3.5 yang baru.
Mr. Zhu Jianming sendiri mengusulkan agar platform LEAP 3.5 dibuat sekompak yang boleh agar lebih banyak ruang diberikan kepada penumpang, pengenalan sistem LIDAR pada platform, ruang kokpit dikuasakan dengan sistem AI, disokong dengan 2 cip Qualcom Snapdragon serta sistem kawalan terma bersepadu 27-in-1

Selain teknologi, salah satu aspek yang perlu diambil kira dalam penghasilan kenderaan yang berkualiti ialah fasiliti pemasangan kenderaan sendiri. Apa yang menakjubkan ialah, Leapmotor berani membawa media Malaysia untuk masuk dan meneroka fasiliti pemasangan kenderaan mereka di Jinhua
Fasiliti atau kilang Leapmotor di sini bertindak menghasilkan sendiri motor elektrik, unit kawalan, lampu LED, pek bateri dengan bateri dibekalkan oleh vendor tempatan dan juga menempatkan Body Shop, Paint Shop dan juga Assembly Shopbagi pemasangan akhir.
Pengamatan penulis mendapati fasiliti pemasangan, budaya kerja, susun atur mesin, dan kawalan kualiti Leapmotor di Jinhua ini sangat hampir dengan Toyota Production System memberi keyakinan pada penulis terhadap jenama Leapmotor
Jika anda tidak yakin tiada masalah kerana terdapat 2 entiti yang berminat untuk bekerjasama dengan Leapmotor dalam masa terdekat iaitu Hongqi yang menjadi pembekal kenderaan rasmi bagi pihak kerajaan dan juga CEO Ferrari Benedetto Vigna telah melawat ibu pejabat Leapmotor pada bulan Februari 2025

Kerjasama dengan Hongqi melibatkan Leapmotor untuk membekalkan platform EV bagi pembangunan model yang baru. Walaubagaimanapun Ferrari enggan memberi komen berkenaan dengan isu lawatan CEO mereka ke Leapmotor melainkan memberi penegasan yang Ferrari akan membangunkan sendiri komponen kereta elektrik mereka
Perkembangan terbaru ini memberi gambaran pada kita bahawa jenama Leapmotor akan melompat lebih tinggi, lebih jauh di masa hadapan dalam persaingan jualan kereta elektrik dan kelebihan dalam kecerdasan buatan Leapmotor memberi kelebihan pada jenama ini pada masa akan datang.