
ENJIN BELUM PUPUS – ZF FRIEDRICHSHAFEN
Walaupun dimomokkan dengan kenyataan bahawa enjin pembakaran dalam akan pupus dalam masa terdekat dan digantikan dengan kereta elektrik, pembekal komponen automotif terkenal dunia yang berasal dari Jerman memberikan pendapat yang berbeza
Bukan sahaja pendapat, malah ZF Friedrichshafen AG iaitu vendor OEM komponen automotif terkemuka yang turut membekalkan transmisi kepada BMW mendedahkan rancangan mereka untuk menghasilkan komponen “range extender” atau pemanjang julat perjalanan (EREV) dengan produksi pertama akan bermula seawal tahun 2026
Dalam sistem EREV, enjin pembakaran dalam bertindak sebagai pengecas untuk bateri kereta elektrik atau hibrid. Berbeza dengan enjin konvensional, enjin EREV akan direka dengan kompak, bertindak hanya untuk mengecas bateri dan tidak akan bersambung dengan roda atau sistem transmisi

Sistem ini amat berguna sekiranya pemandu kereta elektrik tidak sempat mengecaj atau menuju ke destinasi yang tidak menyediakan pengecasan kereta elektrik. Sistem EREV ini bukanlah benda baru kerana ia dipelopori oleh Chevrolet Volt, BMW i3 dan juga terkini Mazda MX-30 dengan enjin rotari sebagai pengecas EREV
Menurut Dr. Otmar Scharrer Timbalan Presiden R&D Elektrifikasi ZF, walaupun kebanyakan kereta elektrik sudah mampu mencapai 500km perjalanan untuk satu pengecasan penuh namun masalah kebimbangan jarak pengecasan masih menghantui pemilik kereta elektrik.
EREV adalag lebih baik berbanding dengan PHEV disebabkan ia lebih murah, lebih mudah dihasilkan, memerlukan masa yang singkat untuk dibangunkan dan menggunakan rantaian bekalan bahan mentah yang lebih ringkas

Malahan EREV juga tidak perlu ditambat pada transmisi, menjadikan EREV akan sentiasa beroperasi pada RPM yang sangat efisyen sepanjang masa. ZF akan menghasilkan 2 jenis EREV pada masa akan datang dengan kod eRE dan eRE+
Bagi sistem eRE, enjin EREV akan dipadankan dengan motor elektrik dan inverter. Bagi sistem eRE+ ia akan menggunakan sistem klac pintar dan differential bagi membenarkan enjin berfungsi sebagai EREV atau sebagai punca penggerak kepada kenderaan.
Bagi sistem eRE, ZF memberi maklumat awal dengan sistem ini berupaya menjana antara 93 kuasa kuda sehingga 147 kuasa kuda. Bagi sistem eRE+, ia berupaya menawarkan antara 93 kuasa kuda sehingga 201 kuasa kuda.