Buletin

AKHIRNYA KIA STINGER RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – 2 VARIAN, BERMULA RM239,888

Naza Kia Malaysia, hari ini melancarkan Kia Stinger secara rasmi ke pasaran Malaysia. Mengaplikasikan konsep GT, model paling pantas Kia itu direka untuk menjadi sebuah gran turismo sebenar.

Bagi memenuhi kehendak pelanggan yang berbeza, Stinger ditawarkan dalam dua varian iaitu 3.3 liter V6 GT dan 2.0 liter GT-Line.Anda boleh membeli Stinger 3.3 liter V6 GT pada harga RM309,888 seunit. Manakala varian 2.0 liter GT-Line pula berharga RM239,888 (tidak termasuk insurans).

Enjin twin-turbo V6 Lambda T-GDi 3.3 liter berkuasa 365hp dan tork 510Nm membolehkan Stinger memcut 0-100km/j dalam masa 4.9 saat.

Sementara enjin empat silinder Theta II T-GDi twin-scroll turbocharged bersesaran 2.0L twin-mampu menghasilkan kuasa 251hp dan tork maksimum 353Nm bemula 1,400 – 4,000rpm. Ini membolehkan Stinger memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa cuma 6.0 saat.

BACA: MALANG NASIB KAU STINGER, BELUM JUAL DAH KENA MACAM NI

Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan yang dibangunkan sendiri oleh Kia.

Kotak gear itu menyaksikan Kia menggunakan penukar tork Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) buat pertama kalinya ke atas model 2.0L GT-Line. Aplikasi yang biasanya digunakan pada enjin pesawat dan jentera lumba itu berfungsi membantu mengurangkan getaran.  

Hasil daripada talaan selama beberapa tahun di litar Nurburgring, Stinger menjanjikan kualiti pengendalian yang mantap di atas apa jua permukaan jalan. Ini disumbangkan oleh Vehicle Dynamic Control (VDC) dengan sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang sofistikated.  

Ciri-ciri lain termasuklah Electronically-Controlled Suspension (ECS) dan Rack-mounted Motor-Driven Power Steering (R-MDPS).

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Stinger dilengkapi Hill-Start Assist Control (HAC), brek ABS, Traction Control System (TCS), Cornering Brake Control (CBC), Blind-spot Collision Warning (BCW), Rear Cross-Traffic Collision Warning dan 7 beg udara. Semua ini membolehkannya memperoleh penarafan 5 bintang daripada Euro NCAP.

Tampil dengan reka bentuk fastback, jentera yang dilengkapi sistem pacuan roda belakang itu sememangnya menarik perhatian sesiapa sahaja. Siluet garis badannya menunjukkan tahap aerodinamik yang terbaik.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril ‘tiger nose’ signatur Kia yang diapit oleh lampu LED. Estetika Stinger menerima pengiktirafan daripada anugerah EyesOn Design untuk Kecemerlangan Reka Bentuk Kereta Produksi pada acara North American International Auto Show (NAIAS) 2017.

Ruang kabin Stinger kelihatan sofistikated dan minimalis bersama rekaan serta kemasan berkualiti tinggi. Kulit Nappa yang lembut membalut tempat duduk varian 3.3L V6 GT dan kulit biasa untuk model 2.0L GT-Line.

Stinger dilengkapi sistem audio premium Harman Kardon dengan 15 unit pembesar suara. Pengalaman pemanduan ditingkatkan lagi dengan ciri Colour Head-Up Display (HUD), Dynamic Bending Light (DBL), Around View (AVM) dengan Driving Rear-View (DRM) Monitor, Integrated Memory System (IMS) untuk kerusi pemandu, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan cermin sisi elektrokromik anti silau.  

Jentera yang paling berkuasa dalam keluarga Kia itu didatangkan dalam empat warna merah, biru, hitam dan kelabu. Dari segi dalaman pula, varian 3.3L V6 GT menerima pakej kemasan berwarna merah. Manakala varian 2.0L GT-Line menggunakan tona hitam.

“Kami yakin Stinger akan menaikkan identiti jenama Kia di Malaysia dan menjadi penanda aras kepada kenderaan masa depan Kia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Dato’ Samson Anand George.

GALERI 

Google ads
Back to top button