Buletin

ASTON MARTIN DBS SUPERLEGGERA – 715HP, 339KM/J PADA HARGA RM1.19 JUTA

Pengeluar kereta mewah terkenal, Aston Martin akhirnya memperkenalkan model terbaharunya, DBS Superleggera.

Jentera super GT yang ringan ini merupakan model halo baharu Aston Martin yang menggunakan panel badan gentian karbon dan enjin V12 berkembar yang semestinya sangat berkuasa.

Enjin bersesaran 5.2 liter itu berupaya menjana kuasa sehingga 715hp dan tork 900Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan daripada ZF. Kualiti pengendalian dimantapkan dengan sistem limited-slip differential mekanikal dan torque vectoring.

Aston Martin mendakwa DBS Superleggera mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 3.4 saat dengan pecutan maksimu 339km/j.

Bagi memberikan nota bunyi enjin yang lebih sedap ketika dipandu secara agresif, enjin V12 itu dipadankan dengan sistem ekzos baharu bersama injap aktif.

Biarpun begitu, Aston Martin menyatakan bahawa DBS Superleggera bukanlah sebuah kereta yang ‘ganas’, tetapi gabungan sebuah supercar dengan kehalusan buatan sebuah jentera super GT.

Rekaan badannya yang sangat aerodinamik itu membolehkan DBS Superleggera mempunyai downforce sebanyak 180kg apabila dipandu laju. Ini adalah angka paling tinggi dalam siri produksi kereta Aston Martin.

Dari segi chasis pula, ia merupakan evolusi kepada seni bina aluminum yang mula digunakan pada model DB11. Ia hadir bersama sistem suspensi double wishbone yang ditempa untuk roda hadapan dan multi-link di belakang.

Pemandu juga boleh memilih tiga mode pemanduan iaitu GT, Sport dan Sport Plus.

Di United Kingdom, DBS Superleggera ditawarkan pada harga £225,000 (RM1.19 juta). Penghantaran pertamanya dijangka bermula suku ketiga tahun ini. 

Google ads
Back to top button