Artikel PilihanBuletin

NISSAN KELUARKAN SEMULA ALAT GANTI SKYLINE R32 GT-R

Ini betul-betul berita gembira buat pemilik dan peminat kereta berprestasi Nissan. Bermula 1 Disember depan, pemilik kereta berprestasi Nissan yang ikonik dapat membeli alat ganti di bawah program warisan NISMO (NISMO Heritage programme).

Program ini adalah kerjasama di antara Nissan Motor Co., Ltd., Nissan Motor Sports International Co., Ltd. (NISMO), Autech Japan dan para pembekal. 

Buat permulaan, NISMO Heritage akan menawarkan peralatan untuk R32 Skyline GT-R yang dibuat antara Ogos 1989 dan Januari 1995.

NISMO mempunyai hubungan rapat dengan pemilik Nissan Skyline GT-R. Keputusan ini dibuat selepas peralatan dan alat ganti penting untuk R32 diperlukan oleh pemilik bagi melepasi ujian pemeriksaan berkala di Jepun.

Kredit: Nissan (R)

Buat permulaan, NISMO akan menjual semula kira-kira 80 bahagian alat ganti seperti abah-abah (harness), hos, logo dan komponen luaran yang lain. 

Apabila bahagian tertentu tidak dapat dihasilkan semula kerana kesukaran operasi yang dihadapi pembekal asal, NISMO akan mempertimbangkan untuk menukarnya dengan menggunakan produk pengganti, dibina semula (rebuild) atau dibaikpulih atau alat ganti prestasi NISMO.

Kredit: Nissan (R)

R32 salah satu dari siri legenda model Skyline. Model ini banyak memenangi perlumbaan di serata dunia. Di Eropah, R32 adalah juara keseluruhan perlumbaan tahan lasak Spa 24 tahun 1991. R32 juga memenangi Kejohanan Kereta Penumpang Australia dan Bathurst 1000 sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 1991 dan 1992.

Di Jepun pula, R32 memperolehi kemenangan dalam setiap perlumbaan Kejohanan Kejuaraan Kereta Jepun pada musim 1990, 1991, 1992 dan 1993.

Selain perlumbaan di litar, R32 juga popular di dalam siri permainan video Gran Turismo.

Buat masa ini alat ganti yang ditawarkan untuk pelanggan di Jepun. NISMO juga akan mempertimbangkan bagi menambah lagi peralatan lain untuk R32 selain daripada model legenda R33 and R34 GT-R.

Kredit: Nissan (R)

BACA: NISSAN SKYLINE GT-R R32 DIUNDI MODEL PALING TOP DALAM #NISMOtop20

BACA: NISSAN SKYLINE R32 TAHUN 1991 (TANPA SEBARANG UBAH SUAI) BAKAL DILELONG DI AUSTRALIA 

Google ads
Back to top button