Buletin

RENAULT CLIO GT LINE – RM118,000

TC Euro Cars, pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini melakukan prebiu model Renault CLIO GT LINE baharu yang dinamik dan sporty.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (3)

Bakal berada di pasaran pada suku keempat tahun ini, Renault CLIO GT LINE ditawarkan pada harga anggaran RM118,000 seunit. Anda perlu menambah RM5,000 lagi untuk mendapatkan versi warna merah. Warna lain yang ditawarkan ialah hitam, putih dan biru.

Menurut orang kuat ETCM, kalau bukan kerana kejatuhan nilai Ringgit, jentera ini sebenarnya boleh ditawarkan pada harga yang lebih murah iaitu sekitar RM109,000 seunit.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (11)

Untuk kumpulan pertama, sebanyak 40 unit telah dibawa masuk. Jadi, jika anda berminat, jangan tunggu lama-lama.

Berbeza dengan Clio R.S yang lerbih berorientasikan pemanduan di litar, varian baharu Clio ini lebih sesuai untuk dipandu di bandar. Biarpun begitu, ia tetap meneruskan tradisi Renault dalam menawarkan inovasi pintar bersama reka bentuk tersendiri.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (17)

Clio merupakan salah satu model terlaris Renault. Dari tahun 1990 hingga 2014, lebih  12.5 juta unit telah terjual di seluruh dunia.

CLIO GT LINE tampil dengan reka bentuk minimalis. Bahagian hadapan dipasang dengan logo besar Renault yang diletakkan secara menegak di atas latar berwarna hitam berkilat. Wajah jentera ini diserlahkan lagi menerusi lampu utama, kemasan krom pada bahagian bawahnya serta satu set lampu nyalaan siang LED yang lebar.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (13)

Kemasan besi, perumah cermin sisi, cermin belakang berwarna gelap, rim aloi khas bersaiz 17 inci dan lencana GT LINE dilekatkan pada pintu belakang. Model ini juga menampilkan spoiler daripada model Clio R.S.

Pasukan reka bentuk Renault memberi perhatian khusus demi mencapai perkadaran yang seimbang untuk versi GT LINE ini. Ia memang sebuah kereta yang rendah (hanya setinggi 1,448 mm).

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (10)

Kedudukan yang rendah itu bukan sahaja memberikan postur yang lebih tegap, malah meningkatkan aspek aerodinamik. Manakala bahagian hadapan dan trek belakang yang lebar menambah kestabilan dan cengkamannya di atas jalan raya.

Dengan garis-garis sisi yang jelas, siluet Renault CLIO GT LINE yang kelihatan seperti sebuah coupe diserlahkan lagi dengan hendal pintu bersepadu dan agak tersorok di bahagian lampu belakang.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (7)

Ruang kabin Renault CLIO GT LINE cukup moden dan ringkas. Sistem multimedia diletakkan tengah-tengah papan pemuka. Tempat-tempat penyimpanan barang boleh didapati di seluruh kabin dan ketelitian ke atas semua perincian dapat dilihat dengan jelas.

Renault CLIO GT LINE dibekalkan dengan enjin Turbo Control Efficiency atau TCe 120 Renault. Enjin moden empat silinder kecil dengan sebuah pengecas turbo ini berupaya menawarkan prestasi yang sama dengan enjin aspirasi biasa 1.8 liter.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (5)

Dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan yang menjanjikan penukaran gear yang pantas dan lancar, ia berupaya menjana kuasa maksimum 118hp @ 4,900rpm dan tork puncak 190Nm yang boleh diperolehi dari putaran enjin serendah 2,000rpm.

Rangkaian kuasa ini menawarkan pecutan dari 0-100km/j dalam masa 9.4 saat sahaja. Namun, penggunaan bahan apinya cuma 5.2L/100km dan emisi  CO2 120g/km. Dengan mode ECO, penjimatan bahan api sehingga 10 peratus boleh dicapai.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (14)

Menjanjikan kualiti pemanduan yang mantap, Suspensi hadapan jenis topang MacPherson pada roda hadapan disambungkan kepada wishbone tiga segi pada sudut yang tepat bersama sesendal (bushes) berkembar.

Suspensi belakang pula terdiri daripada jenis torsion beam yang telah diprogram tahap pesongannya, bersama pegas gegelung dan bar anti-oleng untuk mengoptimumkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Renault-CLIO-GT-LINE-mekanika (15)

Dari segi keselamatan pula, Renault CLIO GT LINE dilengkapi pelbagai sistem aktif dan pasif. Antaranya termasuklah Electronic Stability Control (ESC) dengan Roll Movement Intervention, Hill Start Assist, ABS, Emergency Brake Assist, penarafan lima bintang EuroNCAP dan banyak lagi

Dikilangkan di Bursa (Turki), selang servis Renault CLIO GT LINE adalah 10,000km atau enam bulan, mana-mana tiba dahulu. Ia juga hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button