Buletin

SUZUKI WAGON R GEN-6 BAKAL DILANCARKAN AWAL TAHUN DEPAN DI INDIA – HARGA BERMULA RM23K SAHAJA

Maruti Suzuki dilihat sedang melakukan sentuhan terakhir ke atas model kompak Wagon R sebelum diperkenalkan ke pasaran India.

Sudah memasuki generasi keenam, ia merupakan model sama yang dilancarkan di pasaran Jepun. Pengenalan model terbaharu itu adalah berikutan semua kenderaan baharu perlu memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Program Penilaian Keselamatan Kenderaan Baharu Bharat (BNVSAP).

Maruti Suzuki juga didakwa telah menguji jentera baharu itu sejak beberapa bulan dan fotonya berjaya dirakam.

Sebagaimana yang boleh dilihat, Wagon R dan varian Stingray telah menerima gayaan baru di bahagian hadapan, belakang dan dalamannya. Ia juga dilengkapi dua beg udara, brek ABS dan sensor undur sebagai ciri standard.

Buat pertama kalinya, konsol meter diletakkan di tengah-tengah papan pemuka. Bukan itu sahaja, sterengnya juga nampak lebih sporty, sama seperti yang digunakan pada model Ignis. Tidak ketinggalan skrin sentuh untuk sistem infotainmen.

Di pasaran India, ia akan bersaing secara langsung dengan Hyundai Santro yang dijadual dilancarkan Oktober depan. 

Wagon R menggunakan enjin tiga selinder K-Series bersesaran 1.0 liter yang mampu menjana kuasa mencecah 67bhp dan tork 90Nm.

Enjin yang turut digunakan oleh model Alto K10 dan Celerio itu kemudian dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau AMT. Varian dengan enjin diesel bagaimanapun mungkin tidak ditawarkan. 

Setiap bulan, hampir 15,000 unit Wagon R sedia ada dijual. Jadi, Maruti Suzuki mensasarkan jualan sama untuk model baharu ini. Harganya bermula Rs. 4 lakh (RM23,000) hingga Rs. 5.5 lakh (RM31,670) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button