Buletin

TOYOTA VIOS 2018, BERMULA RM74,980 – BODYKIT TRD, ANTENA SHARK FIN, SENSOR PARKIR

Tahun 2018 menyaksikan model popular Toyota Vios terus diberi peningkatan dengan lebih banyak aksesori dan penampilan yang lebih segar.

Dengan tambahan aksesori, Vios kini memberi lebih nilai dan kelebihan pada pemilik serta menjadikan pemanduan lebih seronok.

Bagi varian paling tinggi, Vios TRD, kit badannya kini hadir dengan penampilan lebih sporty dengan jalur-jalur berwarna.

Kit eksklusif berkenaan yang direka oleh TRD Asia, tidak hanya menawarkan imej yang lebih bergaya. Malah berfungsi untuk memberi manfaat dari sudut aerodinamik. Perumah cermin sisi kini disudahi dengan warna hitam untuk tampil lebih bergaya.

Bagi varian selebihnya, kit badan rekaan terbaru dengan gril honeycomb digunakan, sesuai dengan gayaan semasa. Bagi tahun 2018, rekaan ruang dalaman juga diberi sentuhan lebih segar dengan rekaan pembalut kerusi baru bagi varian-varian gred GX, E dan J. Pembalut kulit bagi tempat duduk varian GX pula dilengkapi liang udara untuk menjadikannya lebih selesa.

Sensor parkir dipasang pada varian Vios 1.5 TRD, GX dan G untuk membantu pengguna meletakkan kenderaan dengan lebih mudah dan selamat.

Sensor belakang sangat berguna ketika mengundurkan kenderaan, sementara sensor depan membantu untuk mengelakkan perlanggaran dengan objek yang boleh merosakkan bampar atau cat.

Semua varian Vios kini dilengkapi dengan antena Shark Fin kompak pada bumbung, sekali lagi mengikut peredaran gaya semasa. Pada varian TRD, antena berkenaan diberikan warna hitam untuk nampak lebih sporty, sementara pada varian lain ia mengikut warna badan kenderaan.

Oleh kerana rekaannya yang tirus dan rendah, antena tersebut memberikan bunyi rintangan angin yang lebih rendah.  

Plat penghadang juga dipasang pada bahagian dasar bukaan pintu untuk memberikan perlindingan kepada cat serta menyuntik kesegaran pada penampilannya.

Kecuali bagi Vios 1.5 J, plat besi tahan karat itu disediakan bagi semua varian dan datang dengan pencahayaan khas ketika pintu dibuka. Bagi varian TRD, pencahayaan berkenaan berwarna amber, manakala yang lain-lain berwarna putih.

Aksesori termaju seperti Peninjau Pandangan Panoramik, Perakam Video Digital, sistem infotainmen DVD-AVN yang lebih maju dengan skrin sentuh 7-inci serta sambungan kepada telefon pintar dan internet masih lagi ditawarkan pada Vios.

Bagi pemilik Vios 1.5 J yang berhasrat untuk menaik taraf sistem infotainmen, sistem DVD-AVX dengan skrin sentuh 6.2 inci yang lengkap dengan sambungan Bluetooth, HDMI, Voice Dial serta kamera undur ada ditawarkan.

Kos bagi aksesori ini boleh dimasukkan sekali ke dalam pinjaman sewa beli sekiranya dinyatakan ketika melakukan pembelian kenderaan. Semua ini akan dipasang oleh individu terlatih di pusat aksesori UMW Toyota Motor sendiri dan datang dengan jaminan terhadap sebarang kecacatan dari kilang.

Terdapat enam varian ditawarkan untuk dipilih dengan harga yang mampu milik, dari serendah RM74,980 (tanpa insurans).

Bermula dari sekarang hingga hujung Februari 2018, pembeli model Vios baharu boleh berjimat sehingga RM2,512 dan menerima ang pow sebanyak RM988, termasuk aksesori percuma. Semua tawaran ini hanya untuk varian-varian terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat, dan sementara stok masih ada.

Semua model Toyota datang dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan. Jaminan itu sah bagi pemilik seterusnya, asalkan ia masih berada dalam tempoh 5 tahun pertama, sekali gus memberi nilai tambah kepada kenderaan ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan Viosi serta tawaran istimewa sempena Tahun Baru Cina, pelanggan boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Toyota atau layari toyota.com.my.

Google ads
Back to top button