
LOTUS ELETRE X HYBRID – GABUNGAN EV UNTUK 1200KM SEKALI CAJ/ISIAN PENUH
Lotus Cars baru sahaja memperkenalkan satu sistem rangkaian kuasa baharu berasaskan konsep extended-range electric vehicle (EREV) menerusi SUV prestasi tinggi iaitu Lotus Eletre X Hybrid. Sistem ini merupakan pendekatan yang agak unik kerana ia menggabungkan ciri pemanduan kenderaan elektrik sepenuhnya dengan teknologi hibrid yang direka untuk memanjangkan jarak perjalanan.
Walaupun model ini dikategorikan sebagai kenderaan elektrik jarak jauh (EREV), ia masih dilengkapi dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder. Namun, peranan enjin tersebut berbeza daripada kereta konvensional.
Dalam kebanyakan masa, enjin ini tidak memacu roda secara langsung. Sebaliknya enjin ini bertindak sebagai generator untuk menghasilkan elektrik yang kemudiannya disalurkan kepada motor elektrik kenderaan.

Lotus Eletre X menggunakan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan jumlah kuasa sehingga 700 kW (952 PS) dengan tork maksimum pula mencecah 935 Nm, menjadikannya lebih berkuasa berbanding versi elektrik sepenuhnya bagi model Eletre.
Dengan angka prestasi sebegini, SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa sekitar 3.3 saat sahaja, satu angka yang biasanya dikaitkan dengan kereta sport berprestasi tinggi. Walaupun tahap bateri menurun sehingga sekitar 20 peratus, sistem ini masih mampu menghasilkan kira-kira 550 kW atau sekitar 748 PS.
Ini menunjukkan bahawa sistem pengurusan kuasa pada model ini direka untuk mengekalkan prestasi yang konsisten walaupun tenaga bateri semakin berkurang. Dari segi kelajuan maksimum pula, model ini dianggarkan mampu mencapai sekitar 230 km/j.

Apa yang membezakan sistem EREV yang digunakan oleh Lotus ini ialah cara ia menggabungkan beberapa konsep hibrid dalam satu sistem. Dalam kebanyakan situasi, kenderaan ini beroperasi seperti kereta elektrik sepenuhnya, dengan motor elektrik memacu roda. Enjin petrol hanya akan dihidupkan apabila perlu untuk menjana elektrik tambahan bagi memastikan bekalan tenaga sentiasa mencukupi.
Lotus turut memperkenalkan satu fungsi tambahan yang membolehkan enjin petrol disambungkan secara mekanikal kepada roda hadapan ketika pemanduan berkelajuan tinggi. Pendekatan ini membantu meningkatkan kecekapan sistem secara keseluruhan. Hasilnya, sistem rangkaian kuasa ini boleh berfungsi sebagai gabungan antara hibrid siri dan hibrid selari bergantung kepada keadaan pemanduan.
Sistem tersebut juga direka dengan beberapa mod operasi berbeza yang membolehkan kenderaan menyesuaikan cara ia menggunakan tenaga. Dalam keadaan tertentu, kereta boleh bergerak sepenuhnya menggunakan motor elektrik dengan pacuan semua roda.

Atau ia boleh menggunakan gabungan enjin dan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa secara selari, atau menggunakan enjin semata-mata sebagai penjana elektrik bagi mengecas bateri semasa pemanduan. Dengan kata lain, Eletre X mampu berfungsi sebagai EV, hibrid siri, atau hibrid selari bergantung kepada keperluan prestasi dan kecekapan.
Tenaga elektrik untuk sistem ini disimpan dalam bateri lithium-ion bersaiz 70 kWh NMC yang dibekalkan oleh CATL. Bateri ini dibina di atas seni bina elektrik 900 volt, bagi membolehkan pengecasan yang sangat pantas. Dalam keadaan optimum, bateri boleh dicas dari 20 peratus ke 80 peratus dalam masa sekitar 9 hingga 9 minit menggunakan pengecas DC berkuasa tinggi.
Dari segi jarak perjalanan pula, Eletre X mampu bergerak sejauh kira-kira 350 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya bergantung kepada kitaran ujian yang digunakan. Apabila digabungkan dengan penggunaan bahan api melalui sistem penjana enjin, jumlah jarak perjalanan keseluruhan boleh melebihi 1,200 kilometer.

Model ini dilengkapi dengan teknologi casis moden termasuk sistem anti-oleng aktif 48 volt yang mampu bertindak balas dalam masa sekitar 10 milisaat. Selain itu, ia turut menggunakan suspensi udara dua ruang dengan penyerap hentak dua injap bagi memastikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan badan.
Bagi meningkatkan lagi prestasi aerodinamik dan kestabilan pada kelajuan tinggi, Eletre X turut dilengkapi dengan spoiler belakang aktif yang mempunyai empat posisi berbeza. Sistem brek pula menggunakan komponen prestasi tinggi daripada Brembo dengan enam piston di bahagian hadapan, bagi memastikan kuasa membrek yang mencukupi untuk menampung prestasi tinggi SUV ini.
Di bahagian kabin, Eletre X menampilkan suasana dalaman yang mewah dan sarat dengan teknologi moden. Sistem audio premium yang ditawarkan mempunyai sehingga 23 pembesar suara, manakala kemasan dalaman boleh dipadankan dengan kulit Nappa penuh sebagai pilihan.

Model ini juga dilengkapi dengan bumbung panoramik besar yang menggunakan teknologi kaca PDLC, yang membolehkan tahap ketelusan kaca dilaraskan sehingga sepuluh tahap mengikut keperluan.
Bumbung kaca tersebut meliputi kawasan lebih daripada 2.4 meter persegi dan pada masa yang sama memberikan ruang kepala tambahan sekitar 30 mm berbanding struktur bumbung konvensional. Ini membantu meningkatkan rasa lapang dalam kabin walaupun reka bentuk luaran mengekalkan profil sporty.
Menurut Lotus, model Eletre X Hybrid ini dijadualkan untuk diperkenalkan di pasaran Eropah sekitar Jun 2026. Penghantaran kepada pelanggan pula dijangka bermula pada suku keempat tahun yang sama sebelum model ini diperluaskan ke pasaran lain di seluruh dunia.
Dengan pengenalan sistem EREV ini, Lotus menunjukkan bahawa masa depan mobiliti elektrik tidak semestinya terhad kepada EV sepenuhnya sahaja. Sebaliknya, gabungan teknologi elektrik dan enjin pembakaran dalaman masih boleh menawarkan keseimbangan antara prestasi tinggi, kecekapan tenaga dan jarak perjalanan yang sangat jauh

