
LEAPMOTOR B10- DARI RM 99,800 SAHAJA
Nama Leapmotor B10 mungkin membuatkan ramai pembaca menyangkakan ia adalah sebuah SUV segmen B. Logiknya memang begitu kerana dalam dunia automotif, huruf biasanya merujuk kepada saiz segmen.
Namun bagi Leapmotor, huruf “B” pada B10 sebenarnya tidak merujuk kepada segmen kenderaan, sebaliknya merujuk kepada barisan platform dalam rangkaian model mereka. B10 dibangunkan menggunakan platform Leap 3.5 yang turut menampilkan seni bina Cell-to-Chassis.
Teknologi ini menjadikan bateri sebagai sebahagian daripada struktur badan kenderaan, sekaligus membantu meningkatkan kekuatan casis, menurunkan pusat graviti dan pada masa sama memberikan ruang kabin yang lebih luas. Pendekatan ini juga membantu meningkatkan kecekapan tenaga, sesuatu yang semakin penting dalam pembangunan kenderaan elektrik moden.

Dari segi rekaan luaran, B10 menampilkan pendekatan yang agak tipikal untuk SUV elektrik generasi baharu. Bentuknya menggunakan konsep dua kotak SUV yang minimalis, dengan rekaan bonet belakang yang agak tegak, cermin hadapan yang tegakdan garis bumbung yang lurus ke bahagian belakang.
Reka bentuk seperti ini mungkin tidak terlalu dramatik seperti SUV coupe, tetapi ia jelas lebih praktikal dan memberi kelebihan dari segi ruang dalaman. Di bahagian hadapan, lampu DRL LED yang nipis berfungsi sebagai identiti utama model ini dan memberikan sentuhan futuristik.
Lampu utama pula diletakkan lebih rendah pada bampar, sekali gus memberikan ilusi visual bahawa bahagian depan kereta ini lebih lebar. Seperti kebanyakan kenderaan elektrik moden, bahagian gril juga ditutup sepenuhnya, bukan sahaja untuk tujuan aerodinamik tetapi juga untuk mematuhi piawaian keselamatan pejalan kaki.

Dari sudut dimensi, B10 sebenarnya lebih besar daripada apa yang dibayangkan ramai orang. Panjang keseluruhannya ialah 4515 mm dengan lebar 1885 mm dan jarak roda sepanjang 2735 mm. Saiz ini sebenarnya menghampiri SUV segmen C seperti BYD Atto 3, MG S5 EV serta Mazda CX-5.
Ini bermakna walaupun harga yang ditawarkan agak kompetitif, ruang dalaman yang disediakan sebenarnya berada pada tahap yang lebih besar daripada jangkaan awal.
Masuk sahaja ke dalam kabin, pendekatan yang digunakan jelas berinspirasikan gaya minimalis yang semakin popular dalam dunia EV. Susun atur papan pemuka menggunakan garis mendatar yang panjang dengan rekaan yang bersih dan tidak terlalu sarat dengan butang. Nampak cantik tapi pada hemat penulis kurang praktikal

Dashboard berwarna cerah memberikan rasa lapang kepada ruang dalaman, manakala paparan infotainmen berukuran 14.6 inci yang terapung di tengah menjadi fokus utama. Di hadapan pemandu pula terdapat paparan instrumen digital bersaiz 8.8 inci.
Secara keseluruhan, rekaan dalaman ini terasa lebih matang dan lebih “global” berbanding beberapa model EV lain dalam kelas harga yang sama, termasuk model seperti BYD Atto 2 atau Atto 3 yang menggunakan pendekatan reka bentuk lebih eksentrik.
Walaupun reka bentuknya minimalis, tahap kelengkapan yang disediakan sebenarnya agak mengagumkan. B10 dilengkapi dengan 4 port USB termasuk port hadapan yang menyokong pengecasan sehingga 60 watt. Kerusi hadapan juga mempunyai fungsi ventilasi, satu ciri yang sangat berguna dalam cuaca panas seperti di Malaysia.

Selain itu, terdapat sistem pencahayaan kabin dengan 64 pilihan warna dan sistem audio 12 pembesar suara yang membantu meningkatkan pengalaman dalam kabin. Kamera pandangan sekeliling 360 darjah turut disediakan dan imej yang dipaparkan kelihatan terang serta jelas, walaupun pergerakan imejnya kadangkala tidak begitu lancar.
Dari segi praktikaliti, B10 turut menawarkan beberapa penyelesaian yang agak bijak. Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam konfigurasi 60:40 dan apabila sandaran kepala ditanggalkan, kerusi boleh dilipat hampir rata sepenuhnya untuk memaksimumkan ruang kargo.
Kapasiti but bermula dengan 420 liter dalam keadaan biasa dan boleh meningkat sehingga sekitar 1700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Tambahan pula, kereta ini turut dilengkapi dengan bumbung kaca panoramik yang membantu memberikan rasa lebih luas kepada kabin.

Dari sudut kejuruteraan, B10 menggunakan kombinasi suspensi McPherson di hadapan dan multi-link di belakang, satu konfigurasi yang biasanya ditemui pada SUV yang lebih mahal. Bateri yang digunakan ialah jenis Lithium Iron Phosphate atau LFP dengan kapasiti 67 kWh.
Sistem pengecasan AC menyokong sehingga 11 kW manakala pengecasan pantas DC pula boleh mencapai sehingga 168 kW. Menurut spesifikasi yang dinyatakan, bateri boleh dicas dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa sekitar 20 minit sahaja apabila menggunakan pengecas pantas yang sesuai.
Dari segi jarak perjalanan, B10 menawarkan anggaran sekitar 434 kilometer mengikut kitaran WLTP. Penggunaan tenaga juga agak efisien, dengan angka sekitar 12 kWh bagi setiap 100 km dalam pemanduan bandar dan kira-kira 18 kWh bagi setiap 100 km di lebuh raya pada halaju 120km/jam.

Satu ciri menarik pada B10 ialah penggunaan sistem pacuan roda belakang atau RWD, sesuatu yang agak jarang ditemui dalam SUV elektrik pada julat harga ini. Kereta ini menawarkan beberapa mod pemanduan termasuk Comfort, Normal dan Sport. Respons pendikit secara keseluruhan tidak terlalu agresif dalam mod biasa.
Dalam mod Comfort, pecutan terasa paling santai dan mudah dikawal untuk pemanduan harian. Mod Normal pula memberikan keseimbangan yang baik, manakala mod Sport menjadikan respons pendikit lebih tajam dan segera.
Namun setiap kali dihidupkan, tetapan kereta ini disetkan pada mod throttle Comfort, regen braking pada tahap maksimum dan tetapan stereng dalam mod Sport. Walaupun begitu, tahap regen braking pada tetapan maksimum mungkin terasa agak kuat dan kurang selesa bagi sesetengah pemandu.

Dalam penggunaan harian, tetapan sederhana brek regeneratif sebenarnya memberikan pengalaman pemanduan yang lebih semula jadi. Kepala tidak rasa tersengguk sengguk yang akhirnya menyebabkan rasa pening.
Dari segi keselamatan, B10 dilengkapi dengan brek cakera pada semua roda serta sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking dan Rear Cross Traffic Alert sebagai ciri tambahan. Sistem pemanduan separa autonomi tahap 2 yang tersedia juga terasa agak yakin digunakan, terutama ketika memandu di lebuh raya.
Namun begitu, terdapat satu aspek yang mungkin menjadi perbincangan paling besar tentang B10, iaitu kedudukan dan ergonomik stereng. Walaupun radius pusingannya agak kecil sekitar 5.35 meter dan menjadikan kereta ini mudah dikendalikan di ruang sempit, sudut kedudukan stereng terasa sedikit mendongak ke atas.

Tambahan pula, julat pelarasan teleskopik stereng agak terhad berbanding dengan kereta lain. Ini bermakna untuk mendapatkan posisi stereng yang betul, pemandu perlu menaikkan kedudukan tempat duduk menjadi terlalu tinggi
Bagi mereka yang gemar duduk rendah ketika memandu, keadaan ini boleh terasa sedikit janggal. Reka bentuk stereng itu sendiri juga mungkin terasa agak pelik dari segi rekaan. Rasa susah untuk mengatur kedudukan jari anda pada kedudukan pukul 9 dan 3.
Walau bagaimanapun, dari segi respons, stereng ini sebenarnya agak sensitif dan memberikan kawalan yang baik, terutama ketika sistem bantuan pemanduan diaktifkan. Malah ketika di laluan berselekoh, tindakbalas stering juga adalah baik


Selain isu stereng, terdapat beberapa perkara kecil lain yang mungkin boleh diperbaiki. Sebagai contoh paparan kamera secara langsung kadangkala rasa seperti lambat, dan ketiadaan butang fizikal untuk beberapa fungsi menjadikan kebanyakan kawalan perlu dilakukan melalui skrin.
Beberapa fungsi seperti kawalan bumbung panoramik dan pintu belakang juga lebih bergantung kepada sistem skrin yang menyebabkan anda perlu mengalihkan mata dari skrin. Selain itu, port pengecasan pada kereta ini juga tidak mempunyai lampu LED indikator yang memudahkan pengguna mengecaj pada waktu malam
Secara keseluruhannya, Leapmotor B10 menawarkan pakej yang agak menarik dengan harga sekitar RM109,800. Dengan bateri 67 kWh, jarak perjalanan sekitar 434 km serta konfigurasi pacuan roda belakang, ia sebenarnya menawarkan nilai yang cukup kompetitif dalam pasaran SUV elektrik.

Namun begitu, posisi stereng dan ergonomik pemanduan mungkin menjadi faktor yang menentukan keputusan sesetengah pembeli. Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat dengan model ini, langkah terbaik ialah mencuba sendiri kereta tersebut melalui sesi pandu uji sebelum membuat keputusan.

