
CADILLAC CELESTIQ – EV ULTRA MEWAH UNTUK GOLONGAN BANGSAWAN
Cadillac telah memperkenalkan sebuah kereta elektrik (EV) yang pastinya sasaran jualan mereka untuk kita semua. Inilah dia Cadillac Celestiq, sebuah model EV ultra mewah yang kelihatan cukup gah dan dianggap sebagai model flagship buat Cadillac.
Model Cadillac Celestiq ini dibina dengan menggunakan tangan dan tenaga manusia sepenuhnya yang bertujuan untuk mewujudkan semula jenama Cadillac sebagai Standard of the World serta dianggap sebagai model flagship untuk masa hadapan bagi sebuah model kereta elektrik. Cadillac Celestic ini juga dibina berdasarkan legasi pembinaan model Cadillac buatan tangan yang ikonik seperti model V16 Aerodynamic Coupe 1933 dan juga Eldorado Brougham 1957.

Sejumlah 300 kepingan bahan bagi kerja kerja fabrikasi menggunakan tangan telah disambungkan untuk menjelmakan ianya sebuah model EV yang ultra mewah sebegini.
Yang pastinya model ini kelihatan cukup moden dan futuristik. Bahagian muka hadapan seakan seperti sebuah kapal angkasa pemusnah. Cukup garang dengan rekaan lampu yang nipis serta gril besar di bahagian hadapan. Bahagian belakang juga menampilkan tema rekaan yang serupa, ala fastback tapi panjang sepanjangnya. Lampu utama bahagian belakang pula diposisikan di bahagian atas kiri kanan badan kereta berbentuk L. Mungkin ada yang beranggapan ianya terlalu mendahului masa, bukannya tahun 2050 lagi. Disebabkan faktor saiznya yang besar dan panjang maka rim berdiameter 23 inci ini kelihatan biasa dan tidak melampau apabila ianya digunakan.

Bahagian kabinnya juga kelihatan cukup moden dan futuristik apabila paparan meter kluster digital diintegrasikan terus dengan sistem infohiburan yang memanjang hingga ke hujung. Disebabkan tarifan model ini adalah model ultra mewah, maka hanya empat tempat duduk sahaja disediakan untuk penumpang. Ciri ciri tambahan yang diperkenalkan termasuklah Adaptive Air Suspension, Active Rear Steering, Active Roll Control, dan juga Active Rear Spoiler.

Berkenaan tren kuasa, model ini bakal menggunakan dua bateri 111 kWh yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 600 HP dan juga 640 Nm. Pek bateri ini juga dikhabarkan mampu bergerak sehingga 300 batu (483 km) jauhnya untuk sekali pengecasan penuh. Disebabkan ianya menggunakan dua bateri, maka sudah tentu mode pemanduan AWD turut tersedia untuk kesedapan pemanduan.
Apa yang menarik tentang Cadillac Celestiq ini adalah pembeli boleh membuat beberapa perincian secara kustom tentang binaan di bahagian dalamnya, bagi membolehkan ianya lain daripada yang lain mengikut citarasa pengguna. Maka tidak hairanlah sekiranya harga anggaran bagi model ini dijangka dijual pada harga melebihi $300,000 (RM 1,308,450).
BACA : 19 MINIT JE CADILLAC LYRIQ HABIS DITEMPAH. SIAPA KATA EV TIADA PERMINTAAN
BACA : CHEVROLET SUBURBAN RST – NAMPAK MACAM SAMA TAPI BUKAN DIA

