
PESAING GHAIRAH PHEV, TOYOTA ANGGAP “PHEV BELUM CUKUP LASAK UNTUK HILUX”
Toyota masih belum bercadang untuk memperkenalkan varian hibrid plug-in (PHEV) bagi Hilux walaupun semakin banyak pengeluar, khususnya dari China, menawarkan trak pikap dengan teknologi tersebut.
Menurut syarikat itu, sistem PHEV ketika ini masih belum mampu memenuhi keperluan sebenar pengguna trak pikap, terutama dari segi keupayaan membawa muatan berat dan menarik treler dalam penggunaan harian.
Generasi terbaharu Toyota Hilux yang diperkenalkan tahun lalu kini ditawarkan dengan pilihan enjin diesel, diesel mild-hybrid serta versi elektrik sepenuhnya (BEV).
Toyota turut merancang memperkenalkan varian sel bahan api hidrogen (FCEV) menjelang 2028.

Pendekatan itu berbeza dengan beberapa pesaing seperti Ford Ranger yang sudah dipasarkan dengan sistem PHEV di beberapa pasaran antarabangsa.
Selain itu, model seperti BYD Shark 6, GWM Cannon Alpha, Nissan Frontier Pro dan Chery Stockman turut menggunakan teknologi hibrid plug-in.
Pengurus Kanan Perancangan Produk dan Penetapan Harga Toyota Australia, Ray Munday, berkata syarikat itu sememangnya sedang menilai potensi Hilux PHEV, namun tidak mahu terburu-buru melancarkan produk yang belum mencapai standard ditetapkan.
Menurut beliau, cabaran utama teknologi PHEV ialah pertambahan berat akibat penggunaan bateri dan komponen elektrik.
Keadaan itu boleh mengurangkan kapasiti muatan serta menjejaskan keupayaan menunda, dua aspek yang menjadi keutamaan pembeli Hilux.
Beliau menegaskan pelanggan Hilux meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap prestasi dan ketahanan model itu, sekali gus menyebabkan Toyota perlu lebih berhati-hati sebelum memperkenalkan teknologi baharu.
Ketika ini, Hilux diesel masih menawarkan kapasiti menunda sehingga 3,500 kilogram serta muatan sekitar satu tan, angka yang dianggap sukar dicapai oleh sistem PHEV sedia ada tanpa menjejaskan prestasi keseluruhan.
Kebimbangan itu turut disokong oleh spesifikasi Hilux elektrik sepenuhnya, yang hanya mampu menunda sehingga 2,000 kilogram, jauh lebih rendah berbanding varian diesel.
Sehubungan itu, Toyota dijangka terus memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi PHEV pada model penumpang dan SUV buat masa ini, sementara menunggu perkembangan teknologi yang mampu memenuhi keperluan kenderaan komersial.
Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia, John Pappas, berkata syarikat itu sentiasa menilai pelbagai pilihan rangkaian kuasa, namun setiap teknologi baharu perlu benar-benar memenuhi kehendak pelanggan sebelum dipasarkan.
Menurut beliau, pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan hanya akan diterjemahkan kepada produk yang benar-benar sesuai dengan keperluan pasaran serta mengekalkan reputasi Hilux sebagai trak pikap lasak dan boleh dipercayai.







