Pandu Uji

LEAPMOTOR C10 PLUS, 800V DAN PENGECAS 180KW. RM 139K SAJA

Apabila Leapmotor C10 diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, SUV ini terus mencuri perhatian kerana menawarkan sesuatu yang agak unik. Dengan dimensi yang menghampiri sebuah SUV segmen D tetapi dijual pada harga sebuah SUV segmen C, ia membuka peluang kepada lebih ramai pembeli untuk memiliki sebuah SUV elektrik bersaiz besar tanpa perlu berbelanja sehingga RM200,000.

Tetapi pasaran EV bergerak dengan begitu pantas. Apa yang dianggap canggih dua tahun lalu mungkin sudah mula kelihatan ketinggalan hari ini. Ketika pengeluar lain mula memperkenalkan platform elektrik 800V serta sistem pengecasan yang jauh lebih pantas, C10 masih menggunakan seni bina 400V dengan pengecasan DC maksimum 84 kW.

Atas sebab itu, kemunculan Leapmotor C10 Plus bukan sekadar satu facelift biasa. Ia merupakan satu naik taraf yang benar-benar memberi impak kepada pengalaman pemilikan sebuah EV. Kini ia hadir dengan platform 800V, bateri LFP 81.9 kWh, motor elektrik pacuan roda belakang yang menghasilkan 299 PS dan 360 Nm, jarak perjalanan WLTP sehingga 510 km serta pengecasan pantas DC sehingga 180 kW.

Dan inilah spesifikasi yang diharapkan oleh pembeli EV moden tetapi pada harga yang cukup kompetitif iaitu sekitar RM 148,000 sahaja atau pada RM 139,000 sekiranya anda berpeluang merebut harga diskaun oleh Leapmotor.

Perubahan pada bahagian luaran pula tidak terlalu drastik. Sekali pandang, ramai mungkin tidak menyedari bahawa ini ialah model C10 Plus kerana reka bentuk asasnya masih dikekalkan. Namun apabila diamati dengan lebih dekat, terdapat beberapa sentuhan baharu diperkenalkan.

Antaranya ialah kemasan cat dua tona bersama bumbung hitam, spoiler hadapan yang lebih menonjol, side skirt yang lebih agresif, diffuser belakang serta rim aloi Trident bersaiz 20 inci dengan kemasan hitam matte. Ia bukan perubahan yang radikal, tetapi cukup untuk memberikan sedikit perbezaan identiti kepada model Plus.

Memasuki ruang kabin, suasananya masih kekal minimalis seperti model terdahulu. Papan pemuka didominasi oleh dua skrin digital dengan saiz 14.6″ untuk skrin multimedia dan 10.25″ untuk meter digital dengan hampir semua fungsi kenderaan dikawal melalui skrin infotainmen.

Malah secara peribadi penulis memang sukakan pendekatan suis digital untuk penyaman udara yang sentiasa akan terpapar pada skrin walaupun sambungan Android Auto sedang aktif. Malah penulis juga boleh mengakses ciri-ciri yang kerap diguna pada kereta dengan satu sentuhan.

Pendekatan ini sememangnya menjadi trend dalam kalangan pengeluar EV masa kini. Pada masa sama penulis lebih gemarkan rekaan papan pemuka yang memberikan sedikit lebih karakter. Paparan meter digital yang diletakkan terus di atas papan pemuka mungkin kelihatan moden, tetapi penulis masih lebih menyukai reka bentuk yang mempunyai hud meter yang lebih kemas.

Begitu juga dengan stereng dua jejari yang digunakan oleh C10, ia bukan rekaan yang menjadi kegemaran penulis walaupun berfungsi dengan baik. Walaupun begitu, kualiti binaan kabin sebenarnya memberikan persepsi kualiti yang baik.

Material yang yang digunakan terasa berkualiti, kemasan dalaman dipasang dengan kemas dan 2 kusyen duduk hadapan lengkap dengan fungsi ventilasi. Dari sudut keselesaan, ia menawarkan temapt duduk yang empuk serta selesa untuk perjalanan jarak jauh ataupun dekat

Cuma apabila dibandingkan dengan beberapa pesaing, penulis rasakan yang rekaan kabinnya sedikit konservatif. Ia kemas, moden dan premium, tetapi tidak mempunyai elemen yang benar-benar membuatkan kita teruja setiap kali membuka pintu dan duduk di belakang stereng.

Perasaan yang sama turut diterjemahkan melalui posisi pemanduan. Tempat duduknya lebar, kusyennya lembut dan ruang kabin terutama di barisan cukup luas untuk perjalanan jauh. Ia jelas dibangunkan sebagai sebuah SUV keluarga yang mengutamakan keselesaan.

Namun bagi pemandu yang gemar mencari sedikit elemen sporty, posisi pemanduannya terasa agak generik dan lebih fokus kepada keselesaan berbanding hubungan emosi antara pemandu dan kereta.

Di atas jalan raya, Leapmotor C10 Plus menonjolkan karakter yang cukup mudah untuk difahami. Suspensinya memberikan keseimbangan yang baik untuk kegunaan harian walaupun saya merasakan talaannya sedikit lebih tegar daripada jangkaan awal.

Ia masih selesa dipandu di lebuh raya mahupun dalam bandar, tetapi tidak terlalu lembut sehingga menyebabkan badan terasa terapung. Namun pada hemat penulis, tetapan spring terpaksa dikeraskan untuk menampung berat tambahan dari bateri bersaiz besar.

Stereng pula cukup ringan dan mudah dikendalikan. Bagi kebanyakan pengguna, terutama ketika memandu di kawasan bandar atau parkir, talaan sebegini sememangnya memudahkan urusan harian. Walaupun mod Sport dipilih, penulis masih berharap ia menjadi lebih berat dan memberikan respon baik dari stereng untuk memberikan lebih keyakinan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

C10 Plus bukanlah sebuah SUV yang dibangunkan untuk menjadi jentera yang mengujakan di jalan berliku. Sebaliknya, ia lebih memfokuskan kepada pengalaman pemanduan yang tenang, stabil dan mudah dikendalikan sementara anda melayan ahli keluarga bersembang.

Mungkin ada pembeli yang mengharapkan C10 menawarkan karekter yang lebih mengujakan daripada sebuah SUV pacuan roda belakang, namun bagi majoriti pengguna yang menggunakan kereta untuk ulang-alik ke tempat kerja atau membawa keluarga bercuti, talaan sebegini sebenarnya lebih praktikal.

Apa yang tidak boleh dipertikaikan ialah prestasinya. Motor elektrik baharu menghasilkan 299 PS dan 360 Nm, menjadikan pecutan terasa cukup responsif setiap kali pedal ditekan. Kuasa dihantar dengan lancar dan pantas, menjadikan proses memotong kenderaan lain di lebuh raya dilakukan tanpa sebarang drama.

Kalau anda risau sebuah SUV keluarga tidak cukup bertenaga, C10 Plus akan mengubah tanggapan tersebut. Sepanjang beberapa hari bersama C10 Plus, penulis sempat memandunya dari Kota Damansara pulang ke Ipoh tanpa perlu singgah mengecas dengan kelajuan ditetapkan antara 110-120km/jam dengan baki perjalanan masih lagi 212km dari bateri.

Pengalaman ini memberikan keyakinan bahawa peningkatan kepada bateri 81.9 kWh bersama jarak perjalanan WLTP sehingga 510 km bukan sekadar angka di atas kertas. Malah pada pandangan penulis 500 km sepatutnya menjadi sasaran minimum bagi sebuah EV moden.

Walaupun bukan kerana semua orang memerlukan jarak itu setiap hari, bateri yang besar dan trenkuasa yang cekap memberikan lebih kebebasan untuk melakukan perjalanan antara bandar atau pulang ke kampung tanpa terlalu bergantung kepada pengecas awam. Dalam aspek ini, C10 Plus menawarkan satu kelebihan yang cukup besar.

Terdapat 3 tetapan brek regeneratif namun penulis lebih gemar menggunakan tetapan regenerative braking pada mod rendah atau sederhana kerana ia memberikan rasa membrek yang lebih semula jadi. Pilihan tetapan ini membolehkan pemandu memilih karakter pemanduan yang paling sesuai mengikut citarasa masing-masing.

Satu lagi aspek yang boleh dipuji ialah NVH pada EV ini. Bunyi angin dan bunyi tayar dikawal dengan baik, menjadikan suasana kabin kekal tenang ketika memandu di lebuh raya atau sekitar 58dB dahaja. Bagi sebuah SUV elektrik dalam julat harga ini, tahap penebatan bunyinya berada pada tahap yang sangat memuaskan.

Sistem bantuan pemandu pula antara aspek yang paling meyakinkan sepanjang pemanduan. Adaptive Cruise Control, Lane Centering Assist dan Lane Keeping Assist berfungsi dengan lancar serta membantu mengurangkan keletihan ketika memandu jauh. Malah pada kebanyakan masa penulis menggunakan fungsi ini sepanjang perjalanan dan ia memberikan pengalaman yang cukup meyakinkan.

Jika ada satu perkara yang saya benar-benar berharap Leapmotor akan tambah pada masa hadapan, ialah sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Walaupun sistem infotainmennya berfungsi dengan baik dengan sambungan Bluetooth, integrasi telefon pintar sudah menjadi satu keperluan bagi kebanyakan pengguna hari ini.

Pada harga promosi sekitar RM139,000 Leapmotor C10 Plus menawarkan platform 800V, bateri besar, jarak perjalanan sehingga 510 km, pengecasan DC 180 kW, prestasi yang pantas, kabin yang luas, sistem ADAS yang lengkap serta tahap keselesaan yang baik.

Ya masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki seperti talaan stereng yang lebih sporti serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Namun jika dilihat secara keseluruhan, kekurangan tersebut tidak menenggelamkan pakej yang ditawarkan.

Bagi mereka yang mencari sebuah SUV elektrik untuk kegunaan harian, perjalanan balik kampung dan perjalanan jauh dengan teknologi yang cukup moden, Leapmotor C10 Plus wajar dimasukkan dalam senarai pendek sebelum membuat keputusan.

Seperti biasa, spesifikasi di atas kertas hanya menceritakan sebahagian daripada cerita. Luangkan sedikit masa untuk memandu uji sendiri dan rasai sama ada karakter C10 Plus benar-benar menepati apa yang anda cari dalam sebuah SUV elektrik moden.

Google ads
Back to top button