Buletin

SUV ELEKTRIK JAECOO J5 EV DIPERTONTON KEPADA UMUM – JANA 211PS, JARAK GERAK 402KM

OMODA | JAECOO Malaysia memperkenalkan buat pertama kali kepada orang ramai model elektrik sepenuhnya (EV) sulung jenama itu, JAECOO J5 EV, sempena Oh My Meow! Expo 2026 yang berlangsung di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC).

Kemunculan J5 EV memberi gambaran awal kepada pengguna tempatan mengenai hala tuju elektrifikasi OMODA | JAECOO Malaysia sebelum pelancaran rasminya dalam pasaran.

SUV elektrik itu bukan sahaja menampilkan teknologi moden dan prestasi mesra pengguna, malah direka dengan mengambil kira keperluan keluarga serta pemilik haiwan peliharaan.

SUV elektrik kompak tersebut hadir dengan dimensi sepanjang 4,380mm, lebar 1,860mm dan tinggi 1,650mm, manakala jarak roda berukuran 2,620mm bagi menawarkan ruang kabin yang lebih selesa.

Dari segi kelengkapan, J5 EV dilengkapi rim aloi 18-inci, bumbung panoramik berkemasan hitam berkilat bersama pelindung suria elektrik, serta pintu belakang berkuasa.

Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi pengudaraan, selain sistem pencahayaan ambien 64 warna.

SUV ini turut dibekalkan dengan skrin sentuh infotainmen bersaiz 13.2-inci, paparan instrumen digital lapan inci, sistem audio lapan pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W serta fungsi telematik.

Dari aspek teknologi, model ini dilengkapi pelbagai ciri pintar termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), kamera pandangan sekeliling berdefinisi tinggi serta skrin infotainmen bersaiz besar yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih moden dan selamat.

Selain itu, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran, menjadikannya sesuai untuk aktiviti perkhemahan atau riadah bersama keluarga.

Spesifikasi Utama JAECOO J5 EV:

  • Motor elektrik hadapan
  • Kuasa maksimum: 155kW (211PS)
  • Tork maksimum: 288Nm
  • Bateri: 58.9kWh CATL Lithium Iron Phosphate (LFP)
  • Jarak pemanduan: sehingga 402km (WLTP)
  • Pengecasan DC: 30% hingga 80% dalam 28 minit
  • Fungsi Vehicle-to-Load (V2L)
  • Active Grille Shutter (AGS)
  • ADAS Tahap 2+ dengan 19 ciri keselamatan pintar
  • Kamera 540° HD Surround View
  • Skrin infotainmen tengah 13.2-inci resolusi 2K
  • Bumbung kaca panoramik 1.45 meter persegi
  • Cermin sisi hadapan dwi-lapisan (double-glazed)
  • Suspensi belakang multi-link
  • Kawalan iklim automatik dua zon
  • Frunk berkapasiti 35 liter
  • Ruang kargo belakang 480 liter
  • 35 ruang simpanan pintar dalam kabin

Menurut OMODA | JAECOO Malaysia, kerjasama dengan Oh My Meow! Expo 2026 turut menjadikan jenama itu pengeluar automotif pertama di Malaysia yang berganding bahu dengan pameran berteraskan kucing.

Inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan jenama itu yang mahu membawa produk automotif lebih dekat dengan gaya hidup pengguna moden, khususnya mereka yang menjadikan haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada keluarga.

Orang ramai boleh melihat sendiri JAECOO J5 EV di reruai OMODA | JAECOO sepanjang Oh My Meow! Expo 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 Julai 2026 di Aras 3, Mid Valley Exhibition Centre, Mid Valley Megamall.

GALERI:

Google ads
Back to top button