Artikel Pilihan

CADILLAC CT5-V BLACKWING – APABILA GAYA EKSLUSIF DAN SPORTY DIGABUNGKAN

Model gaya mewah dan elegan seringkali menjadi imej terhadap model salon bagi Cadillac ini. Tapi bagaimana pula dengan jiwa dan citarasa pemilik yang inginkan satu lagi kekurangan yang ada, laju dan sporty? Maka Cadillac CT5-V Blackwing ini adalah jawapan sebenar kepada persoalan tersebut.

Sebetulnya ini merupakan varian yang paling tinggi untuk model salon premium, Cadillac CT5-V. Model ini telah pun diberikan lencana V-Series Blackwing, sebagai sebuah model salon premium yang berprestasi tinggi. Sudah tentu ianya bakal menggiurkan buat pemilik yang jiwanya senantiasa dahagakan air sirap, eh silap. Dahagakan kelajuan.

Rupa luaran Cadillac CT5-V Blackwing ini barangkali hampir tiada perubahan yang ketara diantara model sedia ada. Tetapi beberapa aspek aerodinamik kenderaan telah diberikan perhatian agar dapat memberikan aliran udara yang lebih stabil ketika kereta ini dipandu laju dan tidak lupa juga untuk memberikan kemasukan aliran udara yang lebih banyak ke dalam ruangan enjin. Maka sudah tentu rekaan gril yang baharu telah direka bagi tujuan itu. Juga terdapat spliter dan juga spoiler yang diperbuat daripada Carbon Fiber yang sudah pasti bukanlah hiasan kosmetik semata.

Bahagian kabin model ini turut menggabungkan elemen premium dan juga sporty. Beberapa bahagian turut diberikan kemasan Carbon Fiber untuk rasa lebih premium tapi dalam masa yang sama ciri ergonomik turut diutamakan. Paling penting, tempat duduk model ini menggunakan balutan kulit Mulan & Opus Semi-Aniline yang lebih menampilkan ciri mewah selain daripada turut menggunakan Carbon Fiber sebagai asas tempat duduk di kerusi hadapan.

Sebagai sebuah model yang laju, sudah tentu pemilihan trenkuasa untuk model sedia ada tidak boleh lagi digunapakai. Maka, enjin bersesaran 6.2 liter V8 Supercharged yang dibina dengan menggunakan tangan sepenuhnya di kilang Bowling Green, Kentucky telah dipilih untuk disumbat ke dalam ruangan enjin. Enjin yang berkuasa lazat ini dipadankan pula dengan kotak gear manual enam kelajuan. Maka, kuasa maksimum 668 HP & 893 Nm bukanlah suatu angka yang mustahil. Sudahlah kereta kacak, laju pula tu menjadikan ianya sebagai sebuah model Cadillac yang paling laju.

Sebagai sebuah model berprestasi tinggi, sudah tentu aspek dan ciri keselamatan turut harus dipertingkatkan demi sejahteraan pemandu dan penumpang. Penggunaan brek Carbon Ceramic sepatutnya berupaya untuk memberhentikan kereta daripada terjerumus ke kancah yang tidak sepatutnya. Harga yang ditawarkan juga sebenarnya agak premium, sesuai dengan segala ciri – ciri yang ditawarkan. Jika model CT5-V ditawarkan pada harga $48,420 (RM198,551), untuk model ini boleh dibeli pada harga $110,150 (RM451,681).

BACA : CADILLAC CT5-V – SEDAN PREMIUM GAYA AMERIKA

BACA : CADILLAC XT6 – SUV AMERIKA DENGAN GAYA JWIA MUDA

Google ads

B K

Back to top button