Buletin

KERAJAAN TANGGUH KENAIKAN KADAR TOL TAHUN INI. ANTARANYA KESAS,SKVE DAN LPT2

Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini berikutan peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan Covid-19.

Antaranya termasuk Lebuh raya Shah Alam (KESAS), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang sepatutnya mendapat kenaikan bermula 1 Januari 2021.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan berkata tiga lebuh raya itu yang sepatutnya mendapat kenaikan tahun ini ialah KESAS, SKVE dan LPT2.

Selain itu, beliau menambah penangguhan kenaikan semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol sebelum ini diteruskan, antaranya melibatkan Lebuhraya UtaraSelatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

Fadilah menjelaskan, kenaikan di satu lebuh raya dan dua plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 1 dan kelas 5 sahaja manakala satu lebuh raya dan tiga plaza tol ditangguhkan kenaikan bagi kenderaan Kelas 5 sahaja dan kenaikan kadar tol di satu lebuh raya ditangguhkan untuk kenderaan kelas 2,3,4 dan 5.

Susulan penangguhan itu, anggaran pampasan yang perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM2.25 bilion dan perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih berjalan, dengan Kabinet bersetuju untuk dimuktamadkan sebelum 2023

“Anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verikasi trak dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya- Bernama

Google ads
Back to top button