Buletin

PROTON COMMERCE SASAR 20,000 PINJAMAN PADA TAHUN INI

PROTON nyata menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada permulaan 2021. Buktinya, jualan kumulatif pada suku pertama tahun ini berada pada paras tertinggi sejak Mac 2012. Ia jelas menunjukkan minat yang kukuh terhadap barisan model keluarannya. 

Perkembangan itu turut memberi kesan ke atas prestasi anak syarikat PROTON, Proton Commerce Sdn. Bhd. (Proton Commerce) yang menjangkakan mungkin mampu mencatat rekod baru jumlah pinjaman.

Proton Commerce mencatat peningkatan jumlah pinjaman, selari dengan penambahan jualan kenderaan Proton. Pada 2018, sebanyak 5,410 pinjaman telah diluluskan dan jumlah tersebut naik dua kali ganda kepada 10,668 pinjaman pada tahun seterusnya. 

Walaupun industri kewangan negara agak terjejas pada 2020 akibat wabak Covid-19 dan kerajaan memberi moratorium pinjaman bagi meringankan beban peminjam, Proton Commerce masih berjaya meluluskan 14,189 pinjaman. Pada tahun ini, syarikat ingin mencatat rekod baru dengan sasaran 20,000 pinjaman.

“Walaupun banyak sektor ekonomi terjejas akibat wabak Covid-19, sentimen pengguna dalam membeli

kenderaan baharu tetap positif. Peningkatan kualiti, penambahan pengedar dan pelancaran produk baru oleh PROTON telah berjaya meningkatkan daya tarikan kepada barisan modelnya. 

“Sekali gus memberi kesan kepada jumlah permohonan pinjaman yang kami terima. Jumlah pinjaman yang diluluskan pada suku pertama tahun ini telah meningkat sebanyak 42.3 peratus. Kami yakin angka itu akan terus positif pada suku kedua. 

“Namun, pasaran sewa beli mungkin mengalami cabaran pada separuh masa kedua tahun ini kerana insentif cukai jualan PENJANA akan berakhir pada Jun. Oleh itu, pasaran mungkin mengalami tempoh penyesuaian,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Commerce, Mooi Fi Phang.

Selain peningkatan jumlah permohonan pinjaman, Proton Commerce juga melihat perubahan dalam demografik pelanggannya. Umur pembeli Proton semakin menurun, ini menunjukkan kereta PROTON kini berjaya menarik golongan muda di Malaysia. 

Sebanyak 80 peratus pelanggan Proton Commerce memilih tempoh pinjaman sewa beli selama 9 tahun dan jumlah pinjaman terjejas pula adalah tiga kali lebih rendah dari purata industri.

Google ads
Back to top button