
CALTEX MALAYSIA RAI ULANG TAHUN KE-89, KONGSI KISAH INSPIRASI TENAGA KERJA DAN RAKAN NIAGA
Ketika rakyat Malaysia menyambut bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, Caltex turut meraikan detik bersejarah dengan menandakan 89 tahun kewujudannya di negara ini.
Sepanjang hampir sembilan dekad, jenama ini bukan sahaja sinonim dengan bahan api, tetapi juga dengan semangat dedikasi tenaga kerja serta rakan niaga yang menjadi tonggak kejayaannya.
Pengerusi Caltex Malaysia, Leong Jee Wong, berkata sejarah panjang syarikat di Malaysia adalah hasil kerja keras, inovasi dan semangat kebersamaan keluarga besar Caltex.

“Setiap kejayaan kami adalah hasil usaha bersama, dan setiap pencapaian pekerja kami diraikan sebagai kejayaan keluarga,” katanya.
Antara yang diraikan termasuklah Vitini Josak, yang memulakan kerjayanya sebagai graduan muda sebelum menempah sejarah pada usia 29 tahun sebagai wanita pertama dilantik Pengurus Terminal.
Kini sebagai Lead Coordinator, Logistics & Operations Support, International Integrated Supply Chain, beliau turut memperjuangkan kepelbagaian dengan menubuhkan program Women in Operations pada 2022 bagi menggalakkan keterlibatan wanita dalam bidang operasi.
Sementara itu, Steven Ho yang telah bersama Caltex sejak 1998, menjadi antara pelopor dalam memperkenalkan Polymer Modified Asphalt (PMA) di Malaysia, satu pencapaian penting dalam menyesuaikan teknologi dengan iklim tropika negara.

Baginya, tempat kerja bukan sekadar kerjaya, tetapi ibarat rumah kedua bersama rakan sekerja yang dianggap keluarga.
LEGASI KELUARGA DAN RAKAN NIAGA
Kisah Caltex juga diteruskan oleh generasi usahawan stesen minyak. Pasangan suami isteri, Hisham bin Abd. Rahman dan Norazni binti Ali, mewarisi legasi stesen Asmah Ketereh Caltex yang diasaskan pada tahun 1969.
Sejak mengambil alih pada 2006, mereka mengekalkan hubungan rapat dengan komuniti setempat dan pernah menerima pengiktirafan 50 tahun kerjasama dengan Caltex pada 2019.
Dua beradik, Manimaran A/L Nallianna dan Maninadarajan A/L Nallianna, pula membuktikan bahawa tekad mampu melahirkan kejayaan besar.

Bermula sebagai rakan niaga pada 2011 tanpa pengalaman luas, kini mereka mengendalikan 10 stesen Caltex di seluruh negara.
Bagi mereka, cabaran mengurus stesen 24 jam sehari adalah peluang untuk memberi perkhidmatan kepada Masyarakat, daripada membantu pelanggan mengisi minyak hinggalah menyokong sekolah setempat.
KOMITMEN UNTUK MASA DEPAN
Selama 89 tahun, Caltex Malaysia terus berdiri bersama rakyat, mengharungi cabaran dan meraikan kejayaan bersama.
“Tenaga kerja kami adalah pemacu utama kejayaan syarikat. Sempena Merdeka dan Hari Malaysia, kami menghargai sumbangan mereka dan berjanji untuk terus membuka ruang pertumbuhan, meraikan pencapaian serta membina masa depan bersama,” ujar Leong.
Dengan tema “Drive Happiness Further”, Caltex Malaysia bertekad untuk terus memperkukuh legasi, bukan sahaja sebagai penyedia tenaga, tetapi sebagai rakan setia dalam perjalanan rakyat Malaysia dari generasi ke generasi.