,
Buletin

CAWANGAN KE 3 PROTON DI KOTA KINABALU DIBUKA

Shirba Auto World Sdn Bhd (Shirba Auto) telah secara rasmi membuka pusat 3S Proton baharu di Kota Kinabalu. Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Encik Yusri Bin Yusuf, Pengarah Kanan, Strategi Korporat, PROTON.

Shirba Auto merupakan pengedar cawangan Proton ketiga dibuka di Kota Kinabalu. 3S ini berkeluasan sebesar 2,259 meter persegi, yang terdiri daripada 12 ruang servis, 6 pengangkat, ruangan menunggu yang selesa lengkap dengan kemudahan Wi-Fi percuma serta ruang tempat letak kereta yang banyak.

Usaha berterusan Proton  untuk menggalakkan lebih banyak cawangannya dinaik taraf serta menarik lebih banyak pengedar-pengedar baharu telah membuahkan hasil. Setakat ini, Syarikat mempunyai sebanyak 104 buah cawangan 3S & 4S di seluruh negara, sekaligus menjadikannya syarikat kereta yang menawarkan perkhidmatan jualan dan servis di bawah satu bumbung terbanyak di Malaysia.

Sebagai pelabur baharu PROTON, Encik Ridzuan Datuk Hj Lassim, Pengarah Shirba Auto World Sdn Bhd, melihat pelbagai peluang dalam PROTON.

Menurut beliau, “Prospek perniagaan PROTON mempunyai harapan yang cerah di masa hadapan, terutama dengan adanya rangkaian model-model baharu. Syarikat juga telah menyakinkan para pelanggan bahawa PROTON kini diuruskan pekerja-pekerja yang mempunyai pengalaman bertaraf antarabangsa. Ia adalah sebuah Syarikat yang mengujakan, bertaraf antarabangsa, maju kehadapan serta bersedia untuk menguasai pasaran”.

“Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan telah membuatkan para pelabur dan pasaran kini yakin terhadap jenama ini. Ramai pihak membuat keputusan untuk melabur sebagai pengedar kerana mereka telah melihat perkembangan positif di dalam PROTON. Mereka melihat PROTON sebagai jenama yang kukuh dan sanggup menjadi sebahagian daripada kami. Persepsi terhadap jenama juga telah berubah dan ini dapat dibuktikan melalui peningkatan jualan kereta Syarikat,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Setakat pada tahun ini, jualan di Malaysia Timur meningkat sebanyak 31%, manakala bagi Sabah, terdapat kenaikan sebanyak 39%, berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Saga tetap menjadi model paling popular di negeri ini.

Google ads
Back to top button