
MALAYAN XPEDITION 2026: TEROKAI MALAYSIA, BERI PENGALAMAN LUAR BIASA
Malayan Xpedition 2026 bukan sekadar konvoi 4×4, tetapi sebuah ekspedisi yang menggabungkan dunia automotif, keluarga dan peminat aktiviti luar untuk meneroka sisi Malaysia yang jarang dilihat.
Dianjurkan By The Billions (BTB), ekspedisi bermula di Lembah Klang sebelum merentasi hutan hujan Pahang dan berakhir di Cherating. Peserta dari Malaysia serta New Zealand, Australia, Taiwan, Thailand, Singapura, Belgium dan Belanda turut mengambil bahagian.
Menariknya, acara ini bukan perlumbaan. Peserta dibahagikan kepada Adventure Route untuk cabaran lebih teknikal dan Explorer Route bagi pemandu baharu serta keluarga.

Antara pengalaman utama termasuk meredah laluan sungai sejauh 9km, berkhemah di kawasan Hulu Tembeling, memasak bersama dan meraikan Hari Malaysia menerusi jamuan potluck di tengah hutan.
Ekspedisi ini turut membawa misi memberi kembali kepada komuniti dan alam sekitar. Antaranya penanaman pokok asli di sepanjang Sungai Kerum, sumbangan bahan perkakasan untuk penambahbaikan saluran air bersih di Kampung Kuala Sat, serta klinik bergerak dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh HeartSpace.
Peserta juga digalakkan menggunakan penginapan, makanan, aktiviti dan bekalan daripada komuniti tempatan bagi memastikan kehadiran ekspedisi memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Dalam masa sama, GWM meneruskan peranan sebagai Preferred Automotive Partner untuk tahun kedua, manakala Grantt Lubricants kembali sebagai Lubricant Partner.
Turut mencuri perhatian ialah MX90, sebuah Toyota Land Cruiser Prado berusia 29 tahun yang dibaik pulih sebelum diserahkan kepada pemilik baharu — membuktikan bahawa pengembaraan bukan semata-mata tentang kenderaan baharu, tetapi tentang kenderaan, rakan seperjalanan dan keberanian meneroka laluan baharu.

Seperti kata pengasas BTB, Ned Nazlan, Malayan Xpedition adalah tentang cerita, masa dan detik yang dikongsi bersama. Kini, perjalanan diteruskan ke Malayan Xpedition 2027.
GALERI



















