Modifikasi

RESTOMOD – TOYOTA CELICA TA22

Kalau anda ingat Toyota AE86 ialah satu-satunya kereta lagenda buatan Toyota, anda memang silap besar. Sebenarnya ada satu lagi model Toyota yang boleh diklasifikasikan sebagai lagenda dan model itu ialah Celica TA22. 

SONY DSC

Jangan terkejut kalau tengok orang buka harga ‘gila-gila’ di internet untuk model macam ni. Kalau dulu orang jual bawah RM10,000, sekarang kalau kondisi cantik, semuanya berharga RM30,000 ke atas.

Kereta ini sebenarnya, kalau dinilai dari segi rare, tidaklah terlalu rare kerana banyak juga yang dieksport masuk ke Malaysia dari Jepun. Kecuali jika anda dapat model GT yang datang dengan enjin 2T-G DOHC 1600cc dan karburator Solex atau Mikuni berkembar. Haa… Ini baru betul rare! Kalau dapat enjin 2T biasa sahaja, berlambak sebenarnya.

SONY DSC

Tetapi tak kisahlah. Memandangkan kereta ini pun dah berusia 40 tahun, jadi agak rare juga sekarang. Shim yang berasal dari Tawau, Sabah sememangnya seorang peminat kereta klasik keluaran Jepun, walaupun umur dia sebenarnya masih muda.

Bagi saya, ini adalah perkembangan positif untuk senario kereta klasik di Malaysia sebab geng pelapisnya ramai.

SONY DSC

Mengubah suai Celica ini tak berapa susah sebenarnya. Untuk lebih kuasa, elok juga enjin 2T asalnya diganti baru. Sudah tentu enjin yang paling cocok ialah enjin 4AGE 1600cc daripada satu lagi lagenda Toyota, iaitu Levin AE86.

Enjin blok kecil ini merupakan enjin spesifikasi perlumbaan yang lasak, berkuasa dan cukup senang untuk diubah suai. Tak percaya? Kereta drift D1 di Jepun boleh mencecah kuasa 200hp tanpa bantuan turbo atau sistem pengubah injap yang canggih!

BACA – RETROMOD, BLUEBIRD U11

BACA – RESTORASI TRAK DATSUN B120

Okay la, secara jujurnya, enjin 4AGE yang digunakan pada Celica ini tidak lah banyak sangat diubah suai. Namun, cukup untuk mengeluarkan bunyi sporty yang sedap dan tujahan kuasa yang baik.

Macam seorang atlet olahraga, lebih baik dia bernafas, lebih baik prestasinya di atas padang balapan. Seperti enjin kereta ini, sistem pernafasannya telah dipertingkatkan.

SONY DSC

Macam mana? Senang sahaja, ganti penapis udara asal dengan penapis udara saluran terbuka daripada A’PEXi. Ekzos asal pun diganti dengan paip custom 2.3 inci dengan peredam bunyi Blitz Nur Spec. Bunyi enjin garang, kuasa pun ada. Sempurna. Hmm.. apa lagi. Okay, kabel palam pencucuh, pun sudah diganti  dengan kabel daripada TRD.

Kotak gear pula, pastinya diambil daripada model T50 iaitu kotak gear standard  Levin AE86. Kotak yang sama lasak dan versatil macam enjin yang disambung dengannya ini diubah suai dengan menggunakan klac perlumbaan jenama Works. Flywheel enjin pula diganti dengan flywheel 3.8kg daripada Toda. Sementara  gandar belakang AE86 yang diubah suai masuk ke Celica ini didatangkan lengkap bersama LSD mekanikal jenis dua hala.

SONY DSC

Masalah nak main kereta lama satu sahaja – sistem suspensi. Ye la, kereta lama macam ni bukan ada kedai yang jual penyerap hentak sports. Mungkin kat negara lain boleh la dapat, tetapi kat Malaysia, memang susah la.

Jadi nak buat macam mana? Enjin dah kuat, tapi kereta rasa macam bawak sampan. Custom sahaja, rojak masuk penyerap hentak daripada kereta lain. Celica ini dimasukkan penyerap hentak boleh laras Tein yang disalin daripada Nissan Silvia S13. Suspensi belakang, istimewa sikit – penyerap hentak Mercedes-Benz S320 digunakan. Pelik tapi benar.

SONY DSC

Brek Celica ini diganti dengan brek AE86 lengkap yang merangkumi pam, brek cakera depan dan belakang. Rim yang dipilih, mestilah bergaya retro. Shim memilih rim Enkei Apache yang hanya berdiameter 13 inci. Ya, 13 inci sahaja.

Tetapi anda fikir sendiri lah, 40 tahun dulu, rim 17 inci belum wujud lagi. Lamborghini Countach pun guna rim 15 inci. Jadi, rim ini mengikut tema yang betul. Rim ini macam mana pun, lebar siot! Rim depan lebarnya 8 inci dan belakang 9 inci. Tayar Federal 185/60 membalut rim depan dan kat belakang, tayar bersaiz agak rare iaitu 205/60 digunakan.

SONY DSC

Solekan yang dibuat pada Celica ini memang kena dengan umur kereta. Macam makcik yang berumur 50 tahun, takkan nak pakai mekap macam budak 18 tahun kan?

Sama juga macam kereta, kena sesuai dengan umurnya. Shim memasang spoiler depan rekaan custom bersama-sama satu set arca roda custom. Cermin sisi jenis “tanduk” dipasang mengikut spesifikasi asal kereta ini. Manakala gril Celica GT menggantikan gril yang asal.

BACA – LELAKI INI MILIKI 5 BUAH LEVIN DAN TRUENO

BACA – PROJEK INITIAL D TOYOTA UK

Pada bahagian dalam, semuanya direstorasi semula mengikut spesifikasi asal, kecuali tempat duduk di bahagian depan yang menggunakan tempat duduk buatan Recaro.

Shim kata, dia sudah habiskan RM30,000 untuk kereta ini. Jadi saya fikir, berbaloi juga kalau nak bayar RM40,000 untuk beli kereta macam ni. Bukan murah nak buat projek restorasi kereta macam ini.

SONY DSC

[hr]Spesifikasi

Pembuat / Model: Toyota Celica TA22

Ubah suai enjin: 4AGE 1600cc DOHC 16 injap TVIS, kabel palam pencucuh TRD, penapis udara A’PEXi

Sistem ekzos: Paip custom 2.3”, peredam bunyi Blitz Nur Spec

Kotak gear: T50 5 kelajuan manual, klac Work, flywheel Toda 3.8kg, gandar belakang AE86

Sistem gantungan: Penyerap hentak Tein Silvia S13 (depan), penyerap hentak Mercedes Benz S320 (belakang)

Sistem brek: Standard AE86

Rim / Tayar: Enkei Apache 13×8 (depan) 13×9 (belakang), Federal 185/60/13 (depan), 205/60/13 (belakang)

Luaran: Lips depan custom , arca roda custom, gril depan Celica GT

Dalaman: Standard, tempat duduk depan Recaro

[hr]Galeri 

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button