
PERODUA MYVI FEM
Sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan golongan wanita, Perodua semalam melancarkan varian Myvi 1.5 edisi istimewa yang dikenali sebagai Pergerakan Memperkasakan Wanita (Female Empowerment Movement atau FEM).
Hanya 60 unit dihasilkan dengan 20 unit dijual sebulan kepada golongan wanita hingga Februari 2014. Edisi istimewa itu dibina daripada model Myvi 1.5 SE. Tampil dalam warna putih sahaja, ia dilengkapi beberapa ciri tambahan seperti pelekat FEM pada bonet, sisi dan belakang kereta.
Bukan itu sahaja, MYVI FEM turut didatangkan dengan kemasan, stereng dan tempat duduk dibalut kulit bersama sulaman logo FEM, bekas pelbagai guna, sistem multimedia, navigasi dan kamera mengundur, cermin tingkap tinted serta karpet lantai lengkap dengan logo FEM.
Semua ciri itu dianggarkan bernilai RM4,000. Lebih menarik lagi, ia tidak melibatkan kenaikan harga walau sedikit pun. Jadi, harganya tetap sama iaitu RM56,027 (di atas jalan termasuk insurans). Terbaik!
Tetapi, harus tahu bahawa ia bukan boleh dibeli begitu sahaja. Kalau hendak memilikinya, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Anda perlu mendaftar sebagai ahli FEM dan merupakan seorang wanita yang berumur 18 tahun ke atas. Syarat seterusnya, anda mestilah memiliki sebuah Perodua atau sekurang-kurangnya pernah memandu kenderaan jenama tersebut.
Pembelian Myvi FEM juga berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat. Persoalannya, adakah jumlah 60 unit itu mencukupi?
“Buat masa sekarang, kami hanya akan menghasilkan sebanyak 60 unit Myvi FEM. Sama ada nak tambah atau tidak, kami akan pertimbangkan nanti,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Menurut Perodua, FEM adalah satu kempen khas yang dibangunkan untuk wanita yang mewakili 60 peratus pelanggan Perodua.
Jika berminat, anda boleh mendaftar di laman web: www.peroduafem.com.my. Ahli FEM akan menerima pelbagai kelebihan seperti hadiah hari lahir istimewa, berpeluang menghadiri bengkel-bengkel memperkasakan wanita dan dijemput menghadiri majlis pelancaran Perodua.
Sebagai tambahan, ahli FEM juga akan diberi akses ke satu laman web mikro yang menampilkan pelbagai artikel menarik dan maklumat berkaitan wanita. Diskaun khas untuk pembelian di e-store FEM turut diberikan.
Sehingga semalam, lebih 2,000 wanita telah mendaftar sebagai ahli FEM. Perodua mensasarkan keahlian seramai 10,000 orang menjelang akhir tahun 2014.
[hr]Galeri