Buletin

CERITA LEGENDA 90-AN, CURI 1 SEN DARI SETIAP AKAUN PELANGGAN BANK HINGGA RM4.1 JUTA. BELI 6 KERETA MEWAH SECARA TUNAI SEBELUM KANTOI

Di Malaysia, ada dua cerita yang sering jadi bualan. Seolah cerita-cerita ini ada musimnya untuk diceritakan kembali. Pertama, cerita pembunuhan melibatkan bomoh bernama Mona Fandey. Kedua, ialah cerita seorang eksekutif bank yang menjadi jutawan dengan hanya mengambil satu sen daripada akaun bank pelanggannya.

Pada tahun 1990, negara kita digemparkan dengan kisah seorang pekerja bank di Hock Hua Bank, bernama Aman Shah Ahmad yang berjaya menciptakan satu sistem untuk mengambil satu sen daripada setiap akaun pelanggan Hock Hua Bank.

Ia bermula ketika dia dihantar oleh pihak bank mengikuti kursus komputer. Dari situah dia mula mengetahui selok belok perbankan komputer. Bahkan, Bank Negara Malaysia juga tertipu dengan setiap perincian yang dirancang oleh Aman Shah.

Dengan jawatan barunya sebagai sebagai Ketua Jabatan pemprosesan Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana dan Sekuriti (SPEED) di Hock Hua Bank, dia telah mengemukakan isyarat palsu untuk memperdayakan pengurusan Bank Negara.

Melalui isyarat ini, dia akan memindah secara senyap-senyap ke akaun Bank Bumiputra miliknya sendiri tanpa ada pihak yang menyedarinya.

Dengan gajinya hanya RM1,800 sebulan, nasibnya berubah setelah berjaya dengan perancangan mencuri satu sen. Dia berjaya memiliki wang tunai sebanyak RM4.01 juta, dan membelanjakan wang tersebut dengan membeli enam kereta mewah.

Enam buah kereta mewah yang dibeli ialah Lamborghini Countach bernilai RM1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502,000), Mercedes Benz 300E (RM192,000), Porsche 928 S4 (RM638,000), Porsche Carrera (RM350,000) dan BMW 329i (RM68,000).

Semua kereta mewah itu dibeli secara tunai dengan tiga daripadanya tidak didaftarkan serta tidak dibayar cukai import. Manakala dua lagi didaftarkan di atas namanya sendiri dan sebuah lagi atas nama teman wanitanya.

Untuk melindungi asetnya daripada diketahui umum, Aman meletakkan kereta mewahnya di pusat pameran di Plaza Bukit Bintang kerana bimbang diketahui oleh jiran-jiran jika dia memarkirnya di rumah.

Semua perancangan Aman Shah berjalan dengan baik sehinggalah dia dijemput ke sebuah segmen popular di TV3 iaitu Sekapur Sirih. Dalam temu bual tersebut, dia bercakap tentang kenderaan-kenderaan mewahnya tanpa menyedari bekas pengurusnya di Hock Hua Bank menonton rancangan tersebut.

Bekas pengurus itu curiga dengan aset yang dimiliki oleh Aman. Keesokan harinya dia membuat beberapa audit dalaman dan terkejut RM4.1 juta hilang dari akaun pelanggan bank.

Pengurus tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Campbell (kini dikenali sebagai Balai Polis Dang Wangi) pada 8 Jun 1990. Tiga hari kemudian, polis menahan Aman Shah Ahmad di sebuah kondominium di Bangsar pada 11 Jun 1990.

Mahkamah Seksyen menyabitkan dia bersalah kerana melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan sebanyak tujuh kali, antara 26 Januari hingga 27 Mac 1990. Aman Shah telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Pada tahun lalu, Aman Shah membuka mulut mengenai jenayah dilakukannya. Menurut bekas eksekutif terbabit, dia tidak pernah mencuri duit 1 sen tersebut. Dia mengaku dipenjara selama 3 tahun 3 bulan atas kesalahan yang dilakukan namun bukan mencuri 1 sen.

Menerusi temubual bersama Mingguan Malaysia, Aman mendakwa sesetengah sistem perbankan di negara kita terlalu banyak kelemahan sehingga boleh dipintas oleh penggodam.

Tambahnya lagi, dia mendapati bahawa sistem keselamatan bank yang diguna pakai masih terdapat kelemahan dan menyebut kesilapan utamanya berpunca dari penjimatan kos dengan membangunkan sistem keselamatan yang kurang optima. – MauKerja

Google ads
Back to top button