Buletin

LEAPMOTOR B10 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK 434KM, HARGA BERMULA RM107K

Leapmotor Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Leapmotor B10 untuk pasaran tempatan, hadir dalam dua varian iaitu, Design dan Life.

Dari segi saiz, B10 hadir dengan dimensi 4,515mm panjang, 1,885mm lebar, 1,655mm tinggi, bersama jarak roda 2,735mm.

Model ini diserlahkan lagi melalui bumbung panoramik beserta penutup matahari elektrik, serta rim aloi 18-inci dengan tayar 225/50 di hadapan dan 235/50 di belakang.

Bahagian hadapan B10 dilengkapi lampu utama LED penuh yang dipisahkan dari pada lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk corak bendera berkotak-kotak. Sementara bahagian belakang menampilkan lampu LED melintang penuh dengan rekaan Wing Star.

Bagi ruang dalaman, Leapmotor B10 dilengkapi skrin sentuh tengah bersaiz 14.6-inci dikuasakan Leap 4.0 Plus, paparan pemandu digital 8.8-inci serta kemasan tempat duduk berasaskan silikon Oeko-Tex yang lebih mesra kanak-kanak.

B10 menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Namun, fungsi ini hanya akan diaktifkan melalui kemas kini Over-The-Air (OTA) sekitar Januari 2026.

Ketersambungan dipertingkatkan lagi dengan Kawalan Jauh Aplikasi Mudah Alih yang tersedia. Ia membolehkan pengguna memantau status kenderaan, melaras kawalan suhu dan mengaktifkan fungsi mengunci dan membuka kenderaan dari jarak jauh.

Ruang but pula menawarkan kapasiti 420 liter, dan boleh diperluaskan sehingga 1,415 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Kedua-dua varian Leapmotor B10 menggunakan sistem pacuan elektrik yang sama, dengan sebuah motor tunggal di gandar belakang yang mampu menghasilkan 218hp dan 240Nm.

Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam sekitar lapan saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan pada 170 km/j.

Apa yang membezakan kedua-dua pilihan ini ialah kapasiti baterinya. Varian asas, Life, dilengkapi bateri LFP 56.2kWh daripada CATL yang mampu membawa SUV ini sehingga 361km mengikut piawaian WLTP.

Ia menyokong pengecasan AC 11kW, di mana pengecasan 30-80% mengambil kira-kira 2.5 jam, serta pengecasan pantas DC sehingga 140kW.

Sementara itu, varian Design menerima bateri LFP yang lebih besar; 67.1kWh, membolehkannya mencapai jarak sehingga 434km WLTP.

Kuasa AC kekal 11kW dengan tempoh 30-80% sekitar tiga jam, namun pengecasan DC dipertingkatkan kepada 168kW. Menariknya, semua versi B10 berkongsi masa pengecasan pantas DC 30-80% kurang daripada 20 minit dan turut menyertakan ciri Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3kW.

Bahagian kejuruteraan B10 turut menjadi tumpuan apabila ia dibangunkan atas platform baharu LEAP3.5, iaitu struktur bateri-kerangka bersepadu yang menekankan keselesaan, ketangkasan pemanduan dan kecekapan tenaga.

Dari segi keselamatan, SUV tersebut menawarkan tujuh beg udara dan sistem kamera 360 darjah. Ia juga dilengkapi dengan rangkaian sistem bantuan pemandu (ADAS), merangkumi:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Kawalan Pengepungan Lorong (LCC)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
  • Bantuan Kecemasan Kekal Lorong (ELKA)
  • Bantuan Trafik Sesak (TJA)
  • Brek Kecemasan Termaju (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Pintu Terbuka (DOW)
  • Brek Trafik Silang Belakang (RCTB)
  • Amaran Trafik Silang Belakang (RCTA)
  • Pengesan Titik Buta (BSD)

Untuk pilihan warna, B10 ditawarkan dalam Starry Night Blue, Dawn Purple, Tundra Grey, Light White, Metallic Black, dan satu lagi pilihan warna tambahan: Galaxy Silver.

SUV elektrik Leapmotor B10 serba baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu LIFE pada harga RM107,800 dengan kemasan dalaman berwarna kelabu gelap.

Sementara varian 5flagship DESIGN yang berharga RM118,800 pula hadir dengan pilihan warna dalaman kelabu gelap atau kemasan kulit Shadow Grey ECO.

200 pelanggan pertama layak menerima promo pelancaran yang merangkumi rebat sebanyak RM8,000 (RM99,800) untuk varian LIFE dan rebat RM9,000 (RM109,800) bagi varian DESIGN.

SUV elektrik Leapmotor B10 serba baharu disokong oleh pakej jaminan yang komprehensif iaitu 6 tahun atau perbatuan sejauh 150,000km dan jaminan bateri selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000km, mana-mana tiba dahulu. Selang servis ialah 1 tahun atau 20,000km, mana-mana tiba dahulu.

GALERI:

Google ads
Back to top button