Buletin

YOUTUBER JUMPA PROTON PERDANA TUN M DAN KOLEKSI KERETA MEWAH BERNILAI RM5.1 JUTA DI PARKIR TERBENGKALAI

Dua pencipta kandungan YouTube di Britain ibarat mendapat rezeki terpijak apabila terjumpa barangan lama yang terdiri daripada koleksi kereta mewah buatan tempatan dan antarabangsa, lapor akhbar The Sun.

Pasangan duo yang dikenali sebagai Ben dan Eran itu merakam penjelajahan mereka di sebuah tempat parkir kereta lama di Surrey yang terbengkalai.

Koleksi menakjubkan itu merangkumi kenderaan vintaj yang dilupakan termasuk kereta klasik British keluaran syarikat Bentley dan Bristol Cars.

Selain itu, turut ditemui Ialah sebuah kereta Proton Perdana yang pernah menjadi milik bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan menghantarnya ke Britain untuk membantu projek penyelidikan bahan api hibrid.

Bristol Cars Ialah sebuah syarikat pengeluar kenderaan berskala kecil dengan semua kenderaan dibuat menggunakan tenaga manusia tanpa pengeluaran besar-besaran.

Tempat letak kereta terbiar itu merupakan kemudahan penyimpanan untuk sisa stok mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Eran, mereka sudah lama memerhatikan bangunan tersebut kerana berasakan ada sesuatu yang sangat menarik tersimpan di situ. “Ia seperti tidak dipedulikan, tersimpan dan berhabuk sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Pelelong item garaj berharga, David Fletcher, yang akan menguruskan penjualan koleksi antik tersebut menganggarkan nilai keseluruhannya adalah sekitar £1 juta (RM5.1 juta). – Agensi

Google ads
Back to top button